Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Kurang Faham Peraturan Servis Baharu BWF – Chong Wei

KUALA LUMPUR 9 Mac – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui tidak begitu jelas dengan peraturan servis baharu yang akan digunakan semasa aksi All England yang bakal berlangsung di Birmingham, minggu hadapan.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berkata, dia sama sekali tidak pernah mencuba servis baharu itu tetapi mengetahui terdapat bantahan daripada beberapa pemain utama dunia dalam aksi Terbuka Jerman yang sedang berlangsung ketika ini.




Berdasarkan peraturan baharu itu, setiap pemain perlu melakukan servis dari kedudukan 1.15m dari aras lantai gelanggang atau di bawah kawasan pinggang yang jelas akan memberi kesan kurang baik kepada pemain yang tinggi lampai.

“Saya tidak begitu faham corak servis baharu ini tetapi saya ada dengar beberapa pemain terma­suk Lin Dan membuat bantahan semasa di Terbuka Jerman.

“Memang saya juga tidak pernah bermain dengan servis baharu ini, saya juga tidak tahu kedudukan raket di bahagian mana tetapi saya akan cuba lakukan yang terbaik di All England dan tidak me­lakukan kesalahan.

“Paling penting saya kena hati-hati terutama ketika kedudukan mata penting kerana kejohanan ini sangat besar untuk semua pemain,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.





Seorang lagi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia juga menyuarakan rasa tidak setuju dengan peraturan baharu yang jelas tidak memihak kepada pemain tinggi lampai seperti dirinya.

Selepas mencubanya sendiri, pemain berusia 20 tahun itu jelas berdepan kesukaran untuk me­lakukan servis dengan sempurna apabila bulu tangkis banyak tersangkut di jaring.



Katanya, keputusan itu jelas tidak berpihak kepada pemain se­pertinya selain pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen bersama barisan pemain Denmark yang tinggi lampai kerana mereka terpaksa bergelut untuk mendapatkan posisi terbaik sebelum melakukan servis.

Bagaimanapun, dia percaya jaguh No.1 negara, Chong Wei tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu yang akan digunakan semasa aksi All England, minggu hadapan kerana dia merupakan pemain yang tidak begitu tinggi. – utusan



,