FAM Dapat Diskaun Ganti Rugi Daripada Kelab Slovakia

Image may contain: 3 peopleJOHOR BAHRU – Tuntutan ganti rugi berjumlah €1.4 juta (RM6.73 juta) oleh kelab ViOn a.s terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana melanggar perjanjian dengan kelab yang berpangkalan di Slovakia itu dapat dikurangkan kepada €300,000 (RM1.44 juta).




Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata jumlah ganti rugi itu dapat dikurangkan selepas rundingan oleh badan induk bola sepak negara dengan kelab itu.

“Ini salah satu berita baik. Selepas rundingan, mereka bersetuju untuk mengurangkan saman daripada €1.4 juta kepada €300,000.

“€300,000 itu dibayar secara berperingkat sebanyak tiga kali iaitu €100,000 (RM481,000) setiap pembayaran,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keempat bagi penggal 2017-2021, di sini hari ini.

Beliau berkata pengurangan jumlah ganti rugi itu sudah pastinya dapat menjimatkan wang FAM.





Ganti rugi itu dituntut oleh ViOn a.s selepas FAM didakwa melanggar perjanjian berhubung latihan skuad Harimau Muda C di Slovakia pada tahun 2015.

Skuad itu dibimbing oleh Hassan Sazali Waras di mana sepatutnya skuad itu mengadakan latihan selama dua tahun dan dua tahun lagi sebagai pilihan di kelab berkenaan.

Image may contain: 1 personNamun, latihan tidak dapat diteruskan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 24 Nov 2015 memutuskan program Harimau Muda dibubarkan sekali gus menyebabkan kelab itu tidak berpuas hati lalu menuntut ganti rugi.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata FAM akan membida untuk menjadi tuan rumah pusingan akhir Kejohanan Bawah 23 Tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Januari 2020.


Menurutnya, permohonan untuk membida itu akan dikemukakan minggu depan memandangkan tarikh tutup permohonan pada Mei ini.

Keputusan untuk membida ini dicapai pada mesyuarat hari ini, kata Tunku Ismail.

Beliau berkata ada beberapa stadium sudah bersedia bagi penganjuran terbabit manakala ada yang masih perlu ditambah baik.

“Bagi saya ini peluang yang baik untuk menambah baik fasiliti bola sepak di negara ini dan berharap mereka akan menjaga kemudahan ini dengan baik,” katanya. -BERNAMA



Comments

comments

,