Suspek Tendang Motosikal Diminta Serah Diri

Image result for tendang motosikal penangPOLIS sudah memperoleh salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk dianalisa Jabatan Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur bagi mengesan identiti penunggang motosikal yang menendang lelaki warga emas di Jalan Persiaran Gurney, Georgetown, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, analisa lanjut perlu dilakukan bagi mengesan imej dan nombor pendaftaran motosikal suspek berikutan rakaman awal yang diperoleh tidak jelas.




Beliau berkata, rakaman penuh CCTV itu telah pun dihantar ke Cheras, Kuala Lumpur petang semalam bagi dianalisa.

Katanya, laporan lengkap siasatan dari Jabatan Forensik PDRM dijangka diperoleh pihaknya selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu lagi.

BACA: Polis buru suspek tendang motosikal warga emas

“Saya berharap suspek yang menendang warga emas itu segera tampil menyerah diri bagi membantu siasatan dan akan diburu polis jika enggan berkerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penutupan Kursus Ulangkaji Light Strike Force (LFS) Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di sini, hari ini.




Anuar berkata, siasatan masih lagi diteruskan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa Abdul Halil Mohamed Noor, 66, ditendang ketika sedang menunggang motosikal di Jalan Persiaran Gurney ketika dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat Asar di Masjid Jamek Lama, Lorong Burma.


Mangsa dipercayai dihampiri seorang penunggang motosikal yang kemudian menendangnya hingga jatuh menyebabkan dia retak empat tulang rusuk kiri serta luka kedua-dua tangan, lutut, ibu jari kaki dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Seorang pemandu Uber wanita yang melihat kejadian itu telah membawa mangsa ke HPP dan memberi salinan rakaman video kepada pihak polis.



Comments

comments