Sejarah Tercatat Di Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang

Sejarah Tercatat Di Olimpik Musim Sejuk PyeongchangSEOUL – Sebagai negara yang tidak pernah menyaksikan salji, ia saat membanggakan apabila Jalur Gemilang dibawa berarak ketika majlis pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018.

Peluncur ais, Julian Yee diberi tanggungjawab membawa bendera negara di Stadium Olimpik Pyeongchang. Ia detik amat bersejarah buat Malaysia yang tidak pernah bertanding 22 edisi temasya Olimpik Musim Sejuk sejak 1924.




Ini kali pertama Korea Selatan dipilih menjadi tuan rumah untuk edisi ke-23. Turut hadir dalam perbarisan ialah Ketua Kontinjen, Datuk Dr. Mumtaz Jaafar, peluncur alpine ski Jeffrey Webb dan pengurus pasukan Irene Cheow.

“Ini satu penghormatan besar buat saya, terutamanya kerana negara kita yang beriklim Khatulistiwa dan memang pun tidak pernah mempunyai musim sejuk,” kata Julian sebelum berlepas ke Korea Selatan pada awal minggu ini.





Kontinjen Malaysia, yang menampilkan hanya dua atlet, adalah satu daripada kontinjen paling kecil dalam kalangan 92 negara mengambil bahagian dengan hampir 3,000 atlet ‘berkampung’ di Pyeongchang sehingga 25 Februari.

Tidak ada sebarang sasaran besar ditetapkan buat Julian dan Jeffrey, masing-masing bertanding pada 16 dan 18 Februari ini. Negara lain yang turut muncul buat julung kali ialah Ecuador, Eritrea, Kosovo, Nigeria dan Singapura.

Sejarah Tercatat Di Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang

Penyertaan mereka namun pasti menyuntik semangat generasi masa depan sukan musim sejuk. Lebih menarik seteru Korea Selatan, iaitu Korea Utara turut serta di bawah satu bendera memaparkan peta Semenanjung Korea.

Kontinjen Pyongyang yang mengandungi 22 atlet bagaimanapun mencetuskan protes dalam kalangan segelintir rakyat Korea Selatan, sekali gus memaksa penganjur memperketatkan kawalan keselamatan bagi elak rusuhan.



Namun, penganjur ‘pe­ning kepala’ apabila Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence bertembung de­ngan adik pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un iaitu Kim Yo Jong apabila kedua-dua hadir menonton upa­cara pembukaan.

Dirasmikan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, temasya kali ini melepasi rekod 100 pingat emas dipertandingkan melibatkan tujuh jenis permainan. Negara itu pernah juga menjadi hos Olimpik Musim Panas pada 1988 lalu.

Turut melakar sejarah apabila 168 atlet Rusia terpaksa bertanding pula di bawah bendera Olimpik setelah negara tersebut dilarang daripada menyertai temasya akibat terlibat kes doping serius. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA



Comments

comments