Sam Jadi ‘The Pocket Rocketman’

FILEM biografi tentang jaguh keirin, Azizulhasni Awang bakal mengambil giliran selepas tayangan filem jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei yang ditayangkan pada 9 Mac hadapan.

Sebelum ini, Azizulhasni yang diberi gelaran The Pocket Rockmetman telah menyatakan hasratnya yang mengharapkan agar pelakon Shaheizy Sam dapat membawakan watak sebagai dirinya dalam filem berkenaan.




Kini, Sam dikatakan turut berasa teruja jika diberi peluang keemasan melakonkan watak juara basikal tersebut.

“Saya teruja ingin melakonkan watak jaguh keirin dunia itu.

“Saya memang teringin untuk melakonkan watak bagi filem bercorak biografi dan setakat ini saya belum pernah lakukannya,” katanya dipetik daripada Astro Gempak.

Dalam masa yang sama, Sam turut berasa bertuah jika dia benar-benar diberi peluang sebegitu dan turut mahu mengenali jaguh hebat itu dengan lebih rapat.





“Jika diberi peluang, saya akan cuba menjiwai watak dan mahu mengenali secara rapat Azizul terlebih dahulu agar berjaya melakonkan karakter dengan baik,” tambahnya lagi.

Kini, Sam baru sahaja selesai menjalani penggambaran bagi filem yang dinantikan oleh penonton, iaitu Polis Evo 2.

Disebabkan itu, bapa kepada seorang cahaya mata tersebut langsung tidak terikat dengan mana-mana kontrak lakonan dalam masa terdekat.



Filem biografi atau biopik tentang perjalanan hidup Azizulhasni bakal menemui penonton pada pertengahan tahun 2019 yang akan datang.

Selain itu, ia bakal menyaksikan kerjasama ThreeSixty Management, iaitu syarikat pengurusan Azizul serta Talent Sdn. Bhd. dan Universiti Utara Malaysia di bawah arahan pengarah Raja Mukhriz. – MYNEWSHUB.CC



Comments

comments

, , ,