Piala AFC: JDT Lulus Cemerlang Ujian Pertama Misi 2018

Juara 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT), memulakan kempen Piala AFC dengan tiga mata di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Persija Jakarta yang menjadi pencabar sulung JDT dalam Kumpulan H bagaikan tidak mempunyai jawapan untuk mencabar kemenangan 3-0 Harimau Selatan sambil penjaga gol, Farizal Marlias, kembali tampil di pentas Asia selepas selesai menjalani penggantungan lapan bulan.



Farizal didapati bersalah atas reaksinya terhadap pengadil ketika menentang Ceres Negros, Jun tahun lalu.

JDT selesa di depan menuju masa rehat selepas Ahmad Hazwan Bakri menampan kemas bola dari jarak dekat pada minit ke-29 sementara Jorge Pereyra Diaz (m-41) melepasi kekeliruan ofsaid untuk menggandakan kedudukan.

Permainan berlangsung seimbang pada babak seterusnya, namun beberapa kelekaan di bahagian pertahanan hampir menghukum tuan rumah.




Persija memperolehi kesempatan terbaik untuk mengurangkan defisit gol, namun selepas bijak mencuri bola daripada penguasaan Hariss Haron, Bambang Pamungkas sebaliknya gopoh dalam penyudah apabila percubaannya terkena tiang gol tatkala pintu gol sudah ternganga.

Tersentak dengan situasi itu, JDT bingkas merancakkan semula jentera serangan. Hasilnya, gerakan yang diilhamkan Safawi Rasid dan Diaz menggegar gawang pelawat buat kali ketiga menerusi rembatan deras Safawi.



Persija, yang sebelumnya kerap menggunakan hantaran tinggi, mula mengubah pendekatan apabila cuba mencari umpanan membelah pertahanan untuk meloloskan rangkaian penyerang mereka, namun gerakan itu sudah dibaca JDT.

Keputusan kekal hingga tamat permainan biarpun wujud usaha untuk menambah jaringan melalui percubaan Safawi dan Luciano Figueroa.

Kemenangan ini meletakkan JDT sebagai peneraju Kumpulan H di depan Song Lam Nghe An dari Vietnam yang turut merakamkan kemenangan 2-0 ke atas kelab Singapura, Tampines Rovers, semalam.



Comments

comments

,