Jampi Hael Husaini Juara AJL32

Hael Husaini diangkat sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL32) selepas memenangi lagu ‘Jampi’.

KUALA LUMPUR: Lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong berjudul Jampi nyanyian Hael Husaini sendiri muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil di sini pada malam Ahad.




Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000, baucer produk CJ Wow Shop bernilai RM10,000, berserta trofi.

Naib juara pula milik lagu berjudul Sejati ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan nyanyian Azmi Caliph Busker.

Tempat kedua itu melayakkan pemenangnya menerima hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi.

Azmi raih tempat kedua AJL32.

Lagu Tergantung Sepi ciptaan Gouffran dan Ibnu nyanyian Haqiem Rusli pula mendapat tempat ketiga.

Selain trofi, mereka turut menerima wang tunai berjumlah RM20,000.

Sementara itu, gandingan Syamel dan Ernie Zakri tampil sebagai pemenang Vokal Terbaik.





Kategori ini melayakkan pemenang menerima RM12,000, trofi, dan baucer CJ Wow Shop bernilai RM2,000.

Persembahan Terbaik pula milik Altimet menerusi lagu Amboi dan dia memenangi wang tunai RM12,000, sebuah telefon pintar Samsung Galaxy A8 berserta trofi.

Manakala, Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung menjadi milik Khai Bahar dengan mendapat trofi dan telefon pintar Samsung A8+.

Haqiem berpuas hati di tempat ketiga.

12 finalis bertanding yang kesemuanya mempertaruhkan lagu Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya Ajai dinyanyikan Dayang Nurfaizah, Sejati (Faizal Tahir/Mike Chan/Azmi Caliph Busker), Menahan Rindu (Ibnu & Gouffran/Wany Hasrita), Tergantung Sepi (Gouffran/Ibnu/Haqiem Rusli), Lebih Sempurna (Syamel) dan Aku Cinta (Syamel/Ernie Zakri).

Lagu lain ialah Warkah Untukmu (Hang Nadim/Laq/Ara Johari), Bayang (Alam Harry Khalifah/Patrick Anahanda/Khai Bahar), Jampi (Hael Husaini/Ezra Kong), Aku Yang Sebenar (M Nasir/Ad Samad/Hazama & The Penglipurlara), Amboi (Navigator/Altimet) dan Akhirnya Cinta (Ajai/Slen/Salma).

Persembahan pada malam itu diadili seramai 10 barisan juri profesional yang diketuai oleh komposer Azmeer.

Sementara itu, persembahan pembukaan pada acara tersebut turut diserikan dengan penampilan Stacy, Waris, AG Coco dan Edrie Hashim menerusi lagu Aku Stacy, Bosan dan Pakai Buang.

Pemenang vokal terbaik, Syamel dan Ernie Zakri.



AJL32 juga turut menampilkan Datuk A.Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin,  Datuk Awie dan Siti Sarah pada acara penutup dengan seleksi lagu Pop Yeh Yeh.

Mereka menyampaikan lagu-lagu popular seperti Tak Mengapa, Suzana, Hidup Bersama, Syurga Idaman, Siapa Gerangan dan Kenanganku.

Pada tahun ini, AJL32 mengangkat tema Fesyen dan Muzik di mana kedua-dua elemen ini sering bergerak seiring dan saling melengkapi.

AJL32 yang disiarkan secara langsung di TV3 menampilkan pasangan pengacara iaitu Alif Satar dan Sherry Al-hadad.

Menariknya untuk edisi kali ini, rekaan pada trofi yang dimenangi pemenang merupakan cetusan idea pereka fesyen Rizman Ruzaini. – mStar



Comments

comments

, ,