Isu Rasuah: FAS tiada niat aniaya sesiapa

Image result for Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS)KUCHING 21 Feb. – Tanggapan sesetengah pihak bahawa Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) cuba menggunakan isu mengatur perlawanan baru-baru ini sebagai alasan atau jalan keluar untuk menutup kegagalan pasukan pengurusan tiada asas sama sekali.



Presidennya, Datuk Posa Majais berkata, dakwaan bahawa FAS turut menganiaya pemainnya dengan menggunakan isu berkenaan juga tidak tepat memandangkan mereka tidak pernah menamakan mana-mana pemain.

Beliau mengeaskan, seperti dalam kenyataan akhbar rasmi pada 11 Februari lalu, FAS menyatakan hanya menyiasat berdasarkan beberapa dakwaan diterima.

“Sekiranya ada mak­lumat sahih yang diperoleh, FAS tidak akan berdiam diri dan sembunyikannya selagi saya bertanggungjawab selaku presiden.





“Kalau perlu saya bergerak berseorangan, saya akan terus memperjuangkannya. Saya bukan di sini untuk (meraih) populariti, sebaliknya saya bersedia menjadi tidak popular,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, beliau faham sekiranya tindakan FAS menyebabkan beberapa pihak tidak berpuas hati.

“Bagaimanapun, jika ada yang menuntut (FAS) memohon maaf dan meletak jawatan, agak sukar untuk berbuat demikian kerana saya hanya menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

“Isu ini pasti tidak akan merencatkan usaha saya sebab apa yang dilakukan tiada kepentingan peribadi sebaliknya bola sepak kita pasti akan menjadi mangsa sekiranya ambil jalan mudah dengan melupakannya,” tegasnya.

Katanya, beliau bertanggungjawab memastikan bola sepak di negeri ini bukan sahaja berkembang maju bahkan terpelihara dan bersih dari segala bentuk ancaman.



“FAS berpegang kepada prinsip zero tolerance kepada isu rasuah, tidak akan sekali-kali membenarkan gejala kurang sihat seperti mengatur perlawanan bertapak dalam bola sepak di negeri ini.

“Saya akan bertemu dengan kedua-kedua pemain yang dibebaskan daripada reman dalam tempoh terdekat dan reda sekiranya tidak mendapat sokongan, tetapi fahamlah segala tindakan semuanya untuk bola sepak Sarawak,” jelasnya.



Comments

comments