Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

FAM Mahu Pasukan Liga-M Beri Peluang Pemain Muda Beraksi

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menggesa semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) memberi lebih banyak peluang kepada pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun negara beraksi bagi mengelak aksi mereka ‘berkarat’.



Timbalan presidennya, Datuk Yusoff Mahadi berkata, minit permainan penting khususnya buat pemain muda yang masih memiliki banyak potensi untuk dibangunkan sekali gus membantu mematangkan lagi corak permainan mereka.

“Memang tidak dinafikan terdapat beberapa pemain B-23 yang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan dalam kancah Liga M, namun saya mengharapkan agar lebih ramai lagi yang diberi kesempatan beraksi secara lebih kompetitif.

“Hanya dengan memberi mereka peluang beraksi sahaja dapat membantu meningkatkan lagi kualiti permainan mereka dan dengan kemajuan yang dicapai di pentas Asia baru-baru ini, kita mahukan mereka menjadi lebih baik.




“Justeru, saya mengharapkan agar pasukan dapat meletakkan kepercayaan kepada pemain muda terbabit kerana saya yakin mereka mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama, Yusoff yang juga pengurus skuad B-23 optimis betapa pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu mampu muncul antara pencabar pada Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung di Indonesia, Ogos depan.

Jelas Yusoff, pencapaian sebagai lapan pasukan terbaik yang diraih pada Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di China, bulan lalu dilihat membantu meningkatkan lagi reputasi negara pada kejohanan peringkat benua itu nanti.


“Dengan kejayaan di pentas Asia baru-baru ini, sudah tentu skuad negara akan dipandang sebagai pencabar dan pasukan lain pasti merisik kekuatan pasukan dan kemampuan setiap pemain menjelang temasya itu.

“Sebab itulah kita tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang kita ada buat masa ini. Jadi, pemain perlu meningkatkan prestasi masing-masing kerana negara luar sudah mula memandang kemampuan mereka,” katanya.

Badan induk itu dijangka menghantar skuad B-23 untuk menyertai temasya terbesar Asia itu bagi meneruskan pendedahan buat pemain menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020. – HMetro



, ,