Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Ayah Pelumba Maut Kemalangan Gagal Saman SIC

SICSHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman yang difailkan sepasang suami isteri terhadap penganjur sukan permotoran, Sepang International Circuit Sdn. Bhd. (SIC) kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian anak mereka Muhammad Izzat Mohd Abdul Hakim, pelumba pada Kejuaraan Motosikal Super Siri Malaysia (MSS), lima tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah menolak saman yang difailkan Mohd Abdul Hakim Embong dan Norhaidah Mohd Noor dan memerintahkan mereka membayar kos berjumlah RM14,000 kepada SIC serta defendan kedua, syarikat permotoran, AAM Motorsports Sdn. Bhd.




Dalam penghakiman ringkasnya, Tun Abd Majid berkata kemalangan yang mengorbankan nyawa Muhammad Izzat bukan disebabkan kecuaian mana-mana pihak tetapi disebabkan ‘error of judgment’ (kesilapan perkiraan).

“Tidak dinafikan sukan permotoran terdedah kepada kemalangan dan risiko, maka semua pihak yang terlibat dalam perlumbaan ini sedar akan perkara ini dan bersedia menanggung segala kemungkinan.

“Sungguhpun mahkamah bersimpati atas kematian anak plaintif, namun berdasarkan keterangan (saksi), mahkamah mendapati kemalangan bukanlah berpunca daripada kecuaian pihak defendan,” katanya.

Pasangan suami isteri itu yang hadir di mahkamah, diwakili peguam Jefri Jaafar sementara SIC diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh dan AAM Motorsports diwakili peguam Mallika Lee.

Image result for Muhammad Izzat Mohd Abdul HakimJefri ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir berkata pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam tempoh sebulan selepas meneliti penghakiman lengkap kes itu.

Muhammad Syafiq pula ketika diminta menjelaskan “kesilapan perkiraaan” itu berkata keadaan itu berlaku ketika motosikal yang dipandu Muhammad Izzat berlanggar dengan seorang marsyal bendera, S. Satish, 44, yang turut maut dalam kemalangan itu.

“Ketika motosikalnya terbabas, Muhammad Izzat cuba mengelak Satish dan pada masa sama Satish pun cuba mengelak tetapi mereka berdua mengelak dengan bergerak ke arah yang sama sehingga berlaku kemalangan,” katanya yang turut menzahirkan rasa simpati terhadap pihak plaintif atas kematian anak mereka.





Dalam pernyataan tuntutan saman yang difailkan pada 2016, pasangan suami isteri itu mendakwa Muhammad Izzat, 17, yang merupakan pelumba motosikal di bawah Projek SIC Ninja Junior, telah menyertai perlumbaan di bawah kategori Kawasaki Ninja 250R Cup di Litar Antarabangsa Sepang pada 21 September 2013.

Mereka berkata semasa perlumbaan itu, Muhammad Izzat terlibat dengan kemalangan apabila motosikalnya terbabas dan melanggar Satish, yang berada di kawasan litar itu di garisan penamat.

Akibat pelanggaran itu, Satish meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Izzat berada dalam keadaan koma dan meninggal dunia lima hari kemudian.

Pasangan itu mendakwa defendan pertama telah gagal atau cuai menyediakan pegawai perubatan yang cekap dan berpengalaman di litar perlumbaan untuk memberikan rawatan dan bantuan perubatan semasa berlaku kecemasan.


Mereka juga mendakwa defendan pertama dan kedua telah gagal atau cuai dalam memastikan tiada halangan atau individu berada di kawasan garisan penamat pada masa litar tersebut digunakan sepenuhnya oleh pelumba.

Selain itu, defendan juga didakwa gagal mematuhi peraturan dalam sukan permotoran terutamanya membabitkan kedudukan marsyal bendera ketika perlumbaan.

Plaintif menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta kos guaman dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA