Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Andik teruja sertai skuad Kedah

PEMAIN import baharu Kedah, Andik Vermansyah dari Indonesia mengakui teruja untuk beraksi bersama skuad Helang Merah selepas dipilih mengisi kekosongan pemain import untuk kuota ASEAN pasukan tersebut bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.



Andik, 27, yang berasal dari Jember, Indonesia berkata, beliau telah bersedia untuk diturunkan bagi membantu Kedah pada pertarungan yang lebih mencabar dalam saingan Liga Super.

Menurutnya, beliau akan mempamerkan aksi terbaik dan bekerja keras dalam usaha membantu skuad Helang Merah memburu kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Saya sebelum ini menerima tawaran daripada lima buah kelab bola sepak di Liga Indonesia, namun mengambil keputusan memilih Kedah yang merupakan antara pasukan terhebat dalam Liga M.

“Saya berbangga apabila terpilih mewakili Kedah dan ber­aksi dengan penuh semangat bersama rakan sepasukan lain,” katanya.





Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan jersi pasukan Kedah kepada pemain import baharu itu yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Yusdi Madeonus Mohamad Yunus di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di Alor Setar semalam.

Turut hadir pengurus pasukan, Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan penolong pengurus, Haris Che Mat serta ketua jurulatih, Ramon Marcote.

Pemain lincah itu yang mampu beraksi di posisi tengah dan penyerang mengikat kontrak selama setahun bersama Kedah.

Andik yang sebelum ini berbakti selama empat musim bersama Selangor menambah, beliau juga telah mengenali beberapa pemain Kedah kerana pernah bertembung dalam beberapa siri perlawanan pada musim Liga M sebelum ini.

Sementara itu, Syed Khairol Anuar berkata, kehadiran Andik diharap dapat membantu memperkemaskan skuad tersebut dalam usaha memburu kemenangan pertama dalam saingan Liga Super selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut pada aksi awal liga sebelum ini.



Beliau juga percaya pemain import baharu itu akan tampil dengan persembahan yang cemerlang sekiranya diberi kepercayaan beraksi pada perlawanan ketiga menentang kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.

“Kedah perlu mengutip tiga mata penting dalam perlawanan tersebut untuk meletakkan skuad Helang Merah pada kedudukan yang lebih selesa dalam carta Liga Super,” katanya.



, , ,