Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Selangor Beri Kelepasan Kepada Evan, Ilham Pulang Wakili Indonesia

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengesahkan pihaknya memberi pelepasan kepada dua pemain importnya, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn untuk pulang ke Indonesia bagi menyertai aksi persahabatan bertemu Iceland, Sabtu ini (14 Januari).



Naib presidennya, Datuk Abdul Rauf Ahmad menjelaskan pihaknya tidak berdepan masalah untuk mematuhi persetujuan bersama Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) membabitkan panggilan dua khidmat pemain itu ke skuad Garuda seperti yang dicapai sebelum ini.

“Kami memang sudah setuju dan perkara ini sudah dimaklumkan lebih awal lagi jadi mereka akan pulang ke Indonesia esok (hari ini) untuk menyertai aksi persahabatan terbabit dan akan pulang semula ke Malaysia pada Ahad.

“Pada pandangan saya, tiada apa-apa masalah untuk mengotakan janji dibuat kerana ia hanya tempoh singkat dan pasukan juga tidak berdepan apa-apa perlawanan sepanjang ketiadaan mereka.




Apapun, kami mengharapkan Evan dan Ilham dapat kembali dalam keadaan yang terbaik dan semoga tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan bertemu Terengganu FC II (TFCII) di Pusat Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong, malam tadi.

Pada aksi persahabatan ketiga itu, anak buah P Maniam meraih kemenangan pertama menewaskan pasukan Liga Perdana itu 1-0 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang veteran, Amri Yahyah.




Terdahulu, Evan dan Ilham disenaraikan PSSI bagi memperkuatkan skuad Pilihan Indonesia yang dibarisi skuad senior serta pemain Bawah 23 (B-23) bertemu Iceland yang dijangka turut membariskan pemain terbaik mereka pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Sabtu ini.

Mengulas lanjut mengenai import kelima pasukan itu, Abdul Rauf mengakui berkemungkinan besar slot terbabit akan diisi pada jendela perpindahan kedua memandangkan mereka berdepan kekangan ketika ini.



“Mungkin jika ada rezeki, kami sempat untuk mendapatkan pemain import kelima pada jendela perpindahan pertama tetapi setakat ini, saya berpuas hati dengan empat pemain import yang sudah ditandatangani,” katanya.



, ,