Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

‘Sarjan Faiz’ dijel 66 bulan

MAHKAMAH Majistret Raub menjatuhkan hukuman penjara 66 bulan dan lima sebatan ke atas ‘Sarjan Faiz’ atas lima pertuduhan dalam dua kes berasingan termasuk menculik remaja perempuan pada 27 Disember tahun lalu.




Tertuduh Mohd Faizal Sinorcho, 32, dari Taman Bukit Indah, Bentong, dijatuhkan hukuman selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Khairuddin Anhar Mahmud.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai buruh di syarikat penyelenggaraan jalan raya didakwa melarikan Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi, 17, di Nombor 141 A, Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan, di Raub, kira-kira 11 pagi, 27 Disember tahun lalu yang mana pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Tertuduh juga didakwa menyamar sebagai anggota polis dikenali sebagai ‘Sarjan Faiz’ di lokasi serta waktu sama dengan pertuduhan pertama dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau keduanya sekali.

Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki senjata api tiruan tanpa permit di kedai motosikal Raub, kira-kira 12 tengah hari, 27 Disember tahun lalu yang mana pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 dan memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.





Pada prosiding itu, tertuduh juga didakwa memperdaya Fatimah Sulaiman, 60, dengan menyamar sebagai Inspektor Khuzairi untuk meminta RM500 bagi melepaskan anaknya, Azuan Ariffin, 42, daripada disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub atas kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan 6.30 petang, 9 Disember 2016 dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyamar dengan memegang jawatan Inspektor untuk memperdayakan Fatimah menyerahkan RM500 untuk melepaskan Azuan daripada disiasat atas kesalahan berkaitan dadah dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.



Khairuddin kemudian mengarahkan hukuman penjara selama 48 bulan bagi kes culik Nur Syaminn Nabila, menyamar sebagai polis dan memiliki senjata api tiruan tanpa kebenaran yang dilakukan tahun lalu dijalankan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 6 Januari lalu.

Hukuman penjara 18 bulan dan lima sebatan bagi kesalahan memperdayakan seorang wanita dan menyamar sebagai anggota polis pada 2016 pula bermula selepas tempoh penjara 48 bulan terbabit selesai.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Mohd Faizal Shamsir manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – HMetro