Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Saringan Piala Thomas, Malaysia diundi dalam kumpulan ‘selamat’

ALOR SETAR 23 Jan. – Malaysia berdepan laluan agak selesa untuk melengkapkan misi layak ke Piala Thomas dan Uber lebih awal tahun ini apabila diundi untuk berada dalam kumpulan ‘selamat’ pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, bulan depan.




Menerusi undian dijalankan di Hotel Royale Signature di sini, skuad lelaki negara diundi untuk berada dalam kumpulan C bersama Chinese Taipei, Thailand dan Myanmar sekali gus mengelak daripada bertemu gergasi-gergasi Asia dan dunia yang lain seperti China, Indonesia, Jepun dan Korea.

China selaku pilihan pertama kejohanan diundi untuk berada dalam Kumpulan A bersama Hong Kong dan Singapura manakala Jepun diletakkan dalam Kumpulan B bersama Korea, Nepal dan Kazakhstan.





Kumpulan D pula melibatkan Indonesia, India, Filipina dan Maldives.

Sementara itu bagi saingan wanita, Malaysia diundi untuk berada dalam Kumpulan Y bersama Thailand, Vietnam dan Filipina.

Jepun selaku pilihan pertama kejohanan berada dalam Kumpulan A bersama India dan Hong Kong manakala China yang diletakkan selaku pilihan kedua bakal bersaing dengan Indonesia dan Singapura dalam kumpulan Z.



Pilihan ketiga, Korea diundi untuk berada dalam kumpulan X bersama Chinese Taipei, dan Maldives.

Sebanyak empat pasukan terbaik bakal layak untuk beraksi pada Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Mei depan.

Thailand bagaimanapun sudah layak secara automatik bersandarkan statusnya selaku tuan rumah. – UTUSAN