LCW sanggup bayar denda

KUALA LUMPUR 18 Jan. – Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei sanggup membayar denda kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk tidak menyertai beberapa kejohanan seperti yang ditetapkan selepas mengambil kira faktor usia serta ketahanan fizikalnya.




Peraturan baharu badan induk sukan badminton dunia itu menetapkan kesemua pemain yang berada dalam kelompok 15 terbaik dunia perlu menyertai 12 kejohanan sepanjang tahun termasuk tiga kejohanan tahap dua, lima kejohanan tahap tiga dan empat kejohanan tahap empat bagi mengelakkan didenda.

Pemain akan dikenakan denda sekitar AS$5,000 (RM19,792) sekiranya menarik diri daripada kejohanan utama seperti All England.





Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik, Chong Wei berkata, tumpuannya kini lebih kepada kejohanan lebih besar termasuk All England, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Piala Thomas dan Kejohanan Dunia.

“Saya akan bincang dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) mengenai perkara ini, kalau kena bayar denda kita akan bayar kerana umur saya bukan 25 tahun sekarang tetapi sudah 35 tahun.

“Biasanya semua pemain utama akan berehat pada waktu ini kerana ada yang menyertai liga dan akan berehat sebelum menyertai All England sebagai kejohanan pertama mereka.



“Sampai sekarang BWF masih belum memberikan sebarang maklum balas berhubung perkara ini dan saya tidak rasa perkara ini akan dinilai semula kerana jika mereka mahu, sudah lama mereka lakukan,” katanya.

Peraturan baharu yang ditetapkan itu menyaksikan ramai pemain utama dunia termasuk juara dunia lima kali Lin Dan (China); pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, Chen Long dan Son Wan-ho tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan badminton Malaysia Masters semalam akibat keletihan.



Comments

comments