Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Haziq, anda hero rakyat Malaysia – Hasnizam Uzir

Image result for haziq nazliJaringan seawal minit pertama pemain Korea Selatan, Cho Jae Wan, tidak menyentap semangat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk terus bangkit dan memberi persembahan terbaik mereka sehingga memberi keresahan kepada ketua jurulatih skuad B-23 Korea Selatan, Kim Bong Gil, semalam.

Tekanan demi tekanan yang diberikan oleh pemain-pemain Korea Selatan ke kubu Malaysia tetapi pemain-pemain negara yang diketuai Adam Nor Azlin tenang menyerap tekanan yang diberikan.




Kita dapat lihat bagaimana semangat juang yang tinggi dan jiwa yang kental dipamerkan oleh pemain-pemain Malaysia di setiap penjuru padang.

Gerakan dan kelincahan Safawi Rasid banyak memberi impak kepada rakan-rakan untuk meningkatkan keyakinan diri yang tinggi, terutama kepada penjaga gol utama negara, Muhammad Haziq Nadzli.

Kita dapat lihat bagaimana Haziq dapat mengawal pintu golnya dengan cemerlang sehingga menerbitkan rasa kekecewaan di wajah skuad Korea Selatan itu.





Haziq banyak menyelamatkan pintu gol negara daripada dibolosi walaupun pada logik akal, kita sebagai penonton yang akan memberi signal kepada perasaan yang mengatakan ia gol tetapi kerana tindak balas yang pantas, minda dan selari dengan pergerakan tubuh itu menidakkan peluang terbuka Korea Selatan.

Mungkin ramai tidak akan lupa kesilapan yang dilakukan Haziq ketika pentas akhir Sukan SEA Ke-29 ketika bertemu Thailand, 29 Ogos lalu.

Ramai peminat bola sepak Malaysia mengutuk dan mengherdik Haziq di atas kesilapannya itu yang membuat Malaysia gagal mengutip ibu segala pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur itu.

Namun, Haziq tidak mengambil peduli, sebaliknya terus fokus dan melihat ke hadapan kerana dia tahu yang mengutuknya itu adalah peminat-peminat yang cemburu dengannya, apatah lagi Haziq merupakan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).

Apa yang penulis lihat adalah sikap positif Haziq walaupun tidak diletakkan dalam senarai kesebelasan utama perlawanan pembukaan Kumpulan C menentang Iraq itu tetapi dia tetap tenang dan fokus.



Namun, apabila diberikan peluang beraksi, Haziq memberikan yang terbaik, sama juga ketika Sukan SEA Kuala Lumpur.

Inilah sikap yang perlu dicontohi dan perlu dijadikan bahan penceritaan kepada jurulatih-jurulatih di peringkat akar umbi untuk memberi semangat dan motivasi kepada pelatih-pelatih.

Carilah bahan yang boleh dikongsikan untuk merangsang minda dan jiwa kepada anak-anak muda untuk terus berjuang demi negara dan sukan bola sepak tercinta khususnya.

Tahniah kepada Datuk Ong Kim Swee dan pasukan kejurulatihannya serta pemain-pemain yang dapat membuka kembali minda dan mata peminat-peminat bola sepak negara bahawa masih ada sinar lagi untuk Malaysia bangkit sekiranya persatuan-persatuan negeri atau kelab dapat mengerakkan program-program di peringkat akar umbi.

Begitu juga dengan Haziq, anda adalah “hero” di hati rakyat Malaysia. – stadiumastro