Generasi 2020 sandaran ke Olimpik Tokyo

Generasi 2020 sandaran ke TokyoSkuad bawah 23 tahun negara akan meninggalkan bumi China hari ini selepas cabaran mereka dalam Kejohanan AFC B23 berakhir susulan tewas 1-2 menentang Korea Selatan di peringkat suku akhir, Sabtu lalu.




Meskipun gagal ke separuh akhir untuk memahat satu lagi sejarah, pencapaian skuad muda negara tetap membanggakan kerana muncul sebagai lapan pasukan terbaik Asia pada penampilan sulung dalam edisi ketiga kejohanan.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee berjaya menandingi kehebatan beberapa pasukan handalan Asia seperti Jordan dan Arab Saudi, malah hampir mengejutkan gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan, dalam kejohanan ini.

Ini menunjukkan pemain negara sebenarnya mampu bersaing di pentas Asia jika mempunyai kemahuan yang tinggi untuk melakar kejayaan dan ia juga membuktikan tiada jurang perbezaan ketara Malaysia dengan pasukan-pasukan handalan di rantau ini.





Menariknya, kejayaan ini dilakukan oleh barisan pemain negara yang rata-ratanya masih boleh beraksi dalam kejohanan seterusnya pada 2020 yang juga aksi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ia membabitkan pemain yang lahir pada atau selepas 1 Januari 1997 iaitu seramai 12 pemain antaranya penjaga gol Haziq Nadzli, pertahanan Dominic Tan, pemain tengah Danial Amier Norhisham, penyerang Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Rata-rata pemain itu merupakan tonggak utama yang cemerlang menunjangi kejayaan bersejarah skuad negara di China, jadi pengalaman mereka tampak mampu memberi manfaat dalam penyertaan Malaysia dalam kejohanan seterusnya.



Jika penampilan sulung sudah berjaya ke suku akhir, tidak mustahil mereka mampu mara lebih jauh dalam penampilan kedua nanti yang menawarkan slot ke sukan Olimpik dengan empat pasukan terbaik akan terpilih.

Namun, persiapan untuk mencapai misi itu harus bermula dari sekarang memandangkan skuad negara terlebih dahulu perlu mengharungi saingan kelayakan kejohanan berkenaan yang akan bermula tahun depan.

Dengan impian ke Piala Dunia tampak terlalu sukar untuk digapai, pentas Olimpik kini dilihat bukan lagi misi mustahil buat Malaysia dan ia bakal tergalas di bahu generasi 2020! – stadiumastro



Comments

comments