Akhyar Dilamar Kelab Dari Thailand, Jepun Dan Indonesia

ALOR SETAR: Kelincahan pemain muda negara, Akhyar Rashid, 18, yang beraksi di Kejohanan Bawah 23 Tahun Asia (AFC) baru-baru ini menjadi perhatian kelab rantau Asia.



Malah maklumat dalam laman media sosial juga turut mengaitkan nama Akhyar dengan kelab ternama Thailand, Buriram United.

Menurut abangnya, Rafdi Rashid yang juga bekas pemain bola sepak Kedah, mengesahkan ada wakil atau ejen berminat untuk berunding dengan Akhyar mengenai tawaran ke kelab Thailand, Jepun dan juga Indonesia seperti dihebahkan sebelum ini.





“Ada ejen menghubungi saya dan berhasrat berunding lebih lanjut mengenai peluang Akhyar menyertai kelab sekitar Asia namun masih di peringkat awal,” katanya.

Bagaimanapun, Rafdi yakin Akhyar yang merupakan pemain sayap lincah Kedah akan memberi sepenuh perhatian kepada kelabnya iaitu Kedah FA terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan untuk melangkah keluar ke kelab lain.



Sebarang keputusan akan dirujuk kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terlebih dahulu kerana Akhyar mempunyai kontrak dua tahun bermula 2017 dan sebarang perbincangan perlu membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.

Akhyar menyertai skuad Piala Belia Kedah pada 2014 hingga 2015 dan kemudian bersama skuad Piala Presiden Kedah pada 2016 sebelum diserapkan ke skuad utama Kedah musim 2017.

Beliau pernah dipanggil menyertai skuad kebangsaan Bawah 17 pada 2015, Bawah 19 (2017) dan terkini bersama skuad B-23 di China.



Comments

comments

,