AFC U23: Buat Korea Selatan Berpeluh, Harimau Tewas Bermaruah

KUALA LUMPUR: Anak buah Datuk Ong Kim Swee terpaksa menelan keperitan apabila rebah di tangan Korea Selatan 2-1 di Stadium Kunchan, China pada pusingan suku akhir Kejohanan Bawah-23 Asia 2018.

Harimau Malaya memberi saingan sengit dengan mempamer keghairahan dan permainan memberangsangkan, namun dikecewakan Han Seun-gyu ketika perlawanan berbaki kurang 10 minit sebelum wisel penamat dibunyikan.




Gawang Malaysia awal dirobek Harimau Putih, ketika permainan hanya bermula 15 saat daripada Cho Jae-wan menewaskan penjaga gol negara, Haziq Nadzli.

Kedua-dua pasukan berbalas asakan, hingga akhirnya kegemaran rakyat jelata, N.Thanabalan menghidupkan kembali peluang untuk mara pusingan separuh akhir menerusi tandukan terbang pada minit ke-67.





Namun, ketika perlawanan menuju penamat, Sang Belang Hitam Kuning akur kepada kehebatan Si Putih untuk melepaskan hasrat meneruskan langkah ke pusingan seterusnya.


“Kami berasa agak kecewa juga tetapi kami telah menunjukkan semangat juang. Kami berjaya menyaingi mereka sehinggalah dibolosi minit-minit akhir,” kata Thanabalan.

Sementara itu, Safawi menganggap tuah tidak memihak kepada Malaysia dengan berkata: “Kami mampu kawal permainan dan cuma tidak bernasib baik hari ini.”

“Kami hilang fokus pada awal permainan dan dihukum. Tetapi kami berjaya mengawal perlawanan selepas itu. Kesilapan berulang selepas menjaringkan gol penyamaan”, luah Kim Swee selepas perlawanan.



Comments

comments

,