AFC B-23: Kesilapan sendiri bawa padah – Kim Swee

Jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan kesilapan sendiri pemain-pemainnya menjadi faktor utama kekalahan 1-4 di tangan Iraq dalam perlawanan pertama Kumpulan C, Kejohanan AFC B-23 di Stadium Changshu, semalam.

Dalam pertemuan itu, skuad muda negara dibolosi dua gol mudah pada minit ke-28 dan 81 yang berpunca daripada kealpaan pemain negara sendiri dalam melakukan hantaran yang lemah kepada rakan sepasukan.





“Sedih apabila melihat kami dibolosi dua kali hasil daripada kesilapan yang patut kami elakkan. Apabila pemain-pemain mula mempamerkan permainan sebenar, mereka ternyata mampu bersaing, membuktikan Malaysia harus lebih berdisiplin di atas padang,” katanya.

Lawan jelas berada di kelas tersendiri selaku juara edisi pertama pada tahun 2013 dan pemenang tempat ketiga pada 2016.


Malaysia berpeluang menambah gol kedua menerusi rembatan Akhyar Abdul Rasid pada minit ke-87, namun jaringan tersebut tidak dikira walaupun kelihatan seperti melepasi garisan gol. Bagaimanapun, Kim Swee berkata, beliau akur dengan keputusan pengadil perlawanan.

“Saya perlu melihat semula untuk berlaku adil. Saya tidak pasti jaringan tersebut dikira atau tidak kerana penting untuk kami menilai persembahan pasukan secara keseluruhan bukan hanya daripada jaringan Akhyar sahaja,” katanya.




Bagaimanapun, pengendali Iraq, Abdul Ghani Shahad, mengakui Malaysia bukan lawan yang mudah walaupun memperoleh kemenangan selesa.

“Ia bukan perlawanan yang mudah kerana Malaysia juga adalah pasukan yang baik dan kemenangan kami hari ini banyak dibantu kesilapan mudah oleh pemain lawan,” katanya. – stadiumastro



Comments

comments

,