Tahun tanpa sebarang kemenangan buat Harimau Malaya

 Tahun tanpa sebarang kemenanganSekali lagi sejarah 2006 berulang, skuad bola sepak negara menutup tirai sepanjang tahun ini dengan kemarau kemenangan di pentas antarabangsa.

Lapan medan pertempuran dilalui, hanya dua keputusan seri mampu dicatatkan, bertemu Filipina pada 22 Mac dan Hong Kong, 5 September.




Selebihnya, enam aksi memperlihatkan Harimau Malaya tumbang dan menutup kisah pedih 2017, tunduk dengan angka jaringan terbesar dalam dua perlawanan bertemu Korea Utara.

Rumusan sepanjang tahun ini, skuad bola sepak negara boleh dikatakan masih terkial-kial mencari formula mujarab siapa pemain sesuai berada dalam kesebelasan utama.

Bukan sedikit pemain dicuba oleh Vingada yang mahu lihat kemampuan semua pemain bermula daripada pemain senior ketika bermula pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 sehinggalah pemain muda pada aksi berdepan Korea Utara, namun sehingga ini keputusannya sama.

Cuma yang memikat hati penulis ialah semangat tinggi dipamerkan bakat-bakat muda seperti Ahmad Khairil Anuar Zamri, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Nor Azam Azih dan Adam Nor Azlin, yang penulis ramalkan perlu terus dikekalkan dalam skuad negara.

Kelompok pemain ini dijangka mampu jadi tonggak penting kepada Harimau Malaya berdasarkan kemampuan individu yang dimiliki mereka.

Selain berkisar kemampuan pemain, kita tidak boleh nafikan jurang kualiti liga tempatan semakin menjauhi tahap bola sepak antarabangsa yang sendiri diperakui Vingada dan pemain-pemain lain





Memburukkan lagi keadaan, tiada mana-mana pemain yang sanggup berkelana ke luar negara bagi mencari pengalaman baru, sekurang-kurangnya ke negara jiran kita seperti Thailand atau Indonesia.

Jika ada segelintir sanggup menongkah arus, penulis jamin mereka mampu memberi sedikit kelainan terhadap corak persembahan Harimau Malaya yang masih kekal umpama katak di bawah tempurung ketika pemain negara semuanya tidak ubah sekadar jaguh kampung.

Lihatlah Iceland, sebuah negara yang berpopulasi 334,252 sahaja penduduk tetapi kerana pemainnya 100 peratus beraksi di liga sekitar Eropah, pasukan ini mampu cipta sejarah ke Piala Dunia buat kali pertama.

Tidak salah meniru cara pasukan negara lain untuk berjaya dan sedarlah, kadangkala keselesaan itu mampu melemahkan kita dalam perkara sebaliknya. – stadiumastro



Comments

comments

,