T-Team atau Terengganu beraksi Liga Super?

“BUKAN dua tetapi hanya satu pasukan dari Terengganu yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan,” kata Timbalan Presiden 1 Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Beliau berkata demikian ketika mengulas khabar angin sebelum ini berkaitan penjenamaan semula pasukan dari Terengganu itu dengan hanya satu pasukan akan beraksi dalam saingan Liga Super manakala satu lagi bakal beraksi di pentas Liga Perdana musim depan.




Ia bermakna T-Team yang sebelum ini berhempas-pulas mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Super musim depan terpaksa ‘turun pangkat’ beraksi dalam saingan Liga Perdana.

Keadaan ini juga sudah pasti membuka peluang kepada pasukan Sarawak yang berada di kedudukan ke-11 dalam carta liga kembali kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Walaupun perubahan drastik itu agak mengejutkan dan dilihat merugikan pasukan dari Pantai Timur itu, PBSNT mempunyai perancangannya tersendiri bagi memastikan pasukan dari Terengganu terus gah dan benar-benar mantap selain mampu menjadi kuasa sukan itu.

Wan Nawawi menjelaskan, penjenamaan semula itu bukan berniat menjatuhkan pasukan bola sepak dari Terengganu atau ada agenda tersembunyi, tetapi dilakukan demi kebaikan untuk meningkatkan mutu bola sepak negeri yang sejak kebelakangan ini gagal meraih sebarang trofi.

“Secara umum akan ada satu pasukan akan bermain dalam Liga Super dan satu Liga Perdana musim depan sebagaimana yang sudah kita bincang antara PBSNT dan kerajaan negeri, begitu juga dengan pasukan Piala Presiden dan Piala Belia juga akan hanya ada satu pasukan saja musim depan tidak seperti tahun ini.





“Perubahan ini untuk meningkatkan mutu pasukan ke arah lebih hebat dan berkualiti, selain itu bajet besar yang sebelum ini dibelanjakan kerajaan negeri juga dapat dikurangkan bersesuaian dengan perbelanjaan berhemah,” kata Wan Nawawi.

Bagaimanapun beliau berkata, walaupun perkara ini sudah dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat PBSNT, tetapi ia masih belum dimuktamadkan.

“Ini kerana ia membabitkan masalah teknikal yang perlu diperhalusi lagi, sebab itu PBSNT belum umum lagi keputusan berkenaan, namun jika semua selesai kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Jumaat lalu akhbar ini melaporkan pengurus T-Team melahirkan nada kurang senang dengan hasrat PBSNT untuk meletakkan The Titans beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan selepas bertungkus-lumus untuk kekal beraksi dalam Liga Super.



Comments

comments

, , ,