Sime Darby tinggalkan Liga M

KUALA LUMPUR: Pasukan dinaikkan ke saingan ke Liga Perdana musim depan, Sime Darby FC (SDFC) membuat kejutan hari ini, apabila memutuskan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M).

Perkara itu diumumkan oleh kelab berkenaan menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka – www.simedarbyfc.com.




“SDFC dengan penuh rendah diri ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung sejak awal penubuhan kelab pada tahun 2010.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong kami yang tidak pernah penat memberikan sokongan selama ini.

“Kepada barisan pemain serta barisan kejurulatihan SDFC, kami mengucapkan jutaan terima kasih atas segala sumbangan dan perjuangan anda bersama pasukan musim ini,” kata SDFC dalam kenyataan itu.

SDFC mula mencipta nama tujuh tahun lalu apabila muncul juara Liga FAM 2010 dan dinaikkan pangkat ke Liga Perdana pada tahun 2011, 2012 dan 2013.

Kelab berkenaan meneruskan kecemerlangan apabila berjaya mara ke Liga Super pada 2014.

Pencapaian paling baik diraih SDFC adalah pada 2012 apabila mencipta sejarah sebagai pasukan berstatus kelab pertama mara ke final Piala FA selain dianugerahkan kelab terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan.





Malah, pencapaian terbaru SDFC adalah pada Oktober lalu apabila merangkul gelaran juara Liga FAM buat kali kedua selepas menumpaskan UKM FC dengan agregat 3-2.

Kedua-dua pasukan turut layak ke saingan Liga Perdana musim depan.

Selain itu, SDFC yang juga ahli gabungan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) akan kekal bertanding dalam Liga Kuala Lumpur (Bahagian Satu) yang dijadualkan bermula pada 7 Disember ini.

Mereka juga akan fokus pada program pembangunan bola sepak bawah 12 tahun bermula Januari tahun depan di padang latihan kelab di Bukit Jelutong.-BH



Comments

comments

, ,