Pahang Ganti Kedah Ke Piala AFC 2018?

Kedah menerima tamparan hebat apabila mereka kehilangan slot Piala AFC yang dimenangi setelah menjuarai Piala FA Mei lalu lapor Berita Harian.

Menurut sumber dalaman FAM, kegagalan KFA mendapat kelulusan lesen dalam tempoh yang ditetapkan menyebabkan slot mereka ke Piala AFC diberikan kepada pasukan Pahang.




Kedah sebelum ini yang gagal memenuhi satu daripada 6 kriteria perlesenan FAM bagaimanapun berjaya mendapat kelulusan setelah melalui proses rayuan pada September lalu.

Bagaimanapun hanya lesen untuk Liga Super sahaja yang diluluskan tetapi bukan lesen AFC.

FAM secara rasminya telah menawarkan tempat kepada Pahang dan PBNP perlu menjawab surat persetujuan sebelum 25 November ini.

Terdahulu pihak KFA dilaporkan masih tertanya-tanya status kelulusan lesen AFC dipetik Sinar Harian.

Timbalan Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, pihaknya masih lagi menunggu pengesahan dari pihak berkenaan status tersebut dan berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memberi sokongan kepada persatuan berkenaan.

Menurutnya, sekiranya benar pihaknya gagal mendapatkan lesen maka juara Piala FA 2017 itu akan membuat rayuan dan membaiki punca kegagalan tersebut.

“Kami keliru kerana lesen untuk beraksi di Liga Super 2018 dapat tapi lesen untuk beraksi di Piala AFC belum lagi. Namun kami belum dapat lagi kenyataan rasmi tentang tidak dapat lesen itu dan jika benar kami tidak dapat kami akan buat rayuan.





Sepatutnya FAM bagi sokongan kepada Kedah sebab kami sudah buktikan antara pasukan terbaik di kalangan terbaik di negara ini dan kami patut diberi peluang beraksi di luar Malaysia,” katanya pada sidang media, 12 November lalu.

Menurutnya, semua maklumat tersebut turut diperolehi dari sumber yang berdekatan.

Rata-rata peminat pasukan Helang Merah meluahkan rasa kesal dan hairan kerana umum mengetahui syarat-syarat perlesenan FAM lebih ketat daripada kriteria yang ditetapkan oleh FAM.

Mereka merasakan pasukan Kedah sepatutnya tiada masalah mendapatkan lesen AFC setelah mendapatkan kelulusan lesen FAM.



Comments

comments

,