Hanya FAM Boleh Tentukan Pengganti Pahang Ke Piala AFC – FMLLP

PASUKAN mana yang akan beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) tahun depan kini menjadi persoalan?



Ia susulan Pahang menolak pencalonan sebagai pasukan kedua Liga Malaysia (Liga M) untuk bersaing dalam kejohanan peringkat Asia itu.

Bagaimanapun, keputusan kini terletak di tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menamakan pasukan bagi mengisi slot itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam menjelaskan pihaknya tiada kuasa untuk menentukan pasukan yang akan dipilih selepas Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Segala keputusan menamakan pasukan untuk ke kejohanan itu hanya boleh ditentukan oleh FAM dan FMLLP tiada kuasa untuk membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

JDT mengesahkan tempat ke Piala AFC tahun depan selepas muncul juara Liga Super dan slot kedua sepatutnya menjadi milik Kedah yang menjuarai Piala FA tahun ini.




Namun, kegagalan Kedah mendapatkan lesen AFC menyaksikan FAM menamakan Pahang yang juga naib juara Liga Super sebagai pengganti tempat Helang Merah.

Pahang bagaimanapun membuat kejutan apabila menolak tawaran FAM dengan alasan mahu memberi fokus sepenuhnya kepada saingan liga tempatan.

Keputusan mengejut Pahang itu turut menimbulkan persoalan pasukan mana yang akan mengiringi JDT ke kejohanan itu.

Difahamkan hanya pasukan dalam kelompok enam teratas Liga Super yang boleh menyertai Piala AFC dengan FELDA United di kedudukan ketiga, Kedah (keempat), Perak (kelima) dan Selangor (keenam).



Comments

comments

, ,