30 pekerja kontrak China serang pasukan polis

SEKUMPULAN tujuh anggota polis menempuh detik cemas selepas diserang lebih 30 lelaki warga China ketika cuba memeriksa sebuah rumah kongsi yang disyaki menjalankan kegiatan judi di Jalan Abraham Off Jalan Khoo Teik Ee di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) polis sedang melakukan pemeriksaan susulan maklumat berhubung kegiatan perjudian di hadapan beberapa unit kediaman didiami ratusan pekerja kontrak warga asing.




Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, 20 hingga 30 orang lelaki warga asing berkenaan cuba menyerang anggota polis.

Pasukan dari Balai Tun H.S. Lee tersebut terpaksa melepaskan empat das tembakan ke udara bagi mengawal keadaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah (gambar kecil) berkata, sekumpulan 30 pekerja kontrak China itu cuba menyerang selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Tembakan dilepaskan sebagai tanda amaran dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya.

Sementara itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak tegas terhadap warga asing yang cuba mencabar anggotanya ketika menjalankan tugas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata tindakan menyerang anggota polis adalah tindakan tidak wajar.





“Kita memandang serius insiden anggota diserang warga asing ketika menjalankan pemeriksaan di premis kediaman pekerja terbabit.

“Kita tidak akan berkompromi dan kejadian ini menjadi petunjuk polis akan sentiasa tegas dalam menjalankan tanggungjawab.

“Insiden seperti ini tidak melemahkan semangat anggota polis dalam usaha membasmi jenayah,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mazlan berkata, siasatan lanjut giat dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Polis menerima maklumat mengenai kegiatan perjudian di bahagian depan rumah didiami pekerja kontrak.

“Kita sedang siasat apa yang berlaku malam itu, mungkin ada salah faham membabitkan mereka, kita belum pasti.

“Pada masa yang sama, kita akan pantau aktiviti membabitkan pekerja asing di sini, selain menjalankan operasi bagi memastikan mereka tidak akan bertindak berani dan berlebih-lebih,” katanya.

Daripada 68 yang ditahan, lapan pekerja warga asing, termasuk dua wanita direman selama tiga hari sehingga esok bagi siasatan lanjut kes.

Semua suspek mempunyai dokumen sah.



Comments

comments