Piala Malaysia : Felda United, Perak menakjubkan

Ungkapan ringkas mengenai kejayaan kedua-dua pasukan ini bangkit dari ambang penyingkiran untuk melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia.

Nyata bermain di Shah Alam memberi kelebihan kepada Felda biarpun satu ketika agak kaget kerana dibolosi seawal minit ketujuh permainan dalam perlawanan yang dilabel ‘battle of the clubs’ itu.

Namun, apabila satu jaringan berjaya diperoleh, seolah ia memberikan tekanan pula kepada PKNP untuk dibolosi satu demi satu gol dan akhirnya anak-anak buah Abu Bakar Fadzim akur untuk kekalahan kedua terbesar mereka musim ini.

Saya tertarik untuk mengulas kenyataan jurulatih Felda, B. Sathiananthan, yang mengatakan mereka terpaksa mengharapkan ‘orang tua’ seperti Shukor Adan untuk melakukan hantaran lintang terbaik sebelum disudahkan Wan Zack Haikal Wan Noor untuk gol penyamaan, sekaligus menyalakan api perjuangan Felda di Stadium Shah Alam.

Shukor Si Otai yang masih berbisa!




Apakah bermain di luar Ipoh tetapi bertindak selaku ‘home team’ melemahkan semangat PKNP?

Hakikatnya dalam perlawanan suku akhir kedua itu, Felda lebih bernafsu memburu jaringan sementara skuad PKNP tersentap dek kekurangan pengalaman untuk mengatasi tekanan biarpun satu ketika memiliki ‘advantage’ untuk menutup peluang The Fighters ke separuh akhir.

Tiada apa lagi yang mampu dikejar PKNP, namun ‘tabik spring’ harus diberikan kepada wakil Perak ini atas kemampuan layak ke suku akhir Piala Malaysia selain bakal berakhir sebagai kelab terbaik di dalam kelompok empat teratas Liga Perdana.

Bagaimanapun, penyokong Perak masih boleh bergembira dengan kejayaan cemerlang skuad Seladang menumpaskan Pahang 4-0 untuk kemenangan agregat 5-3.

Aura Piala Malaysia juga dimiliki pengendali Perak, Mehmet Durakovic yang pernah menjulang piala keramat ini ketika bergelar pemain dan jurulatih bersama Selangor.

Kelebihan bermain di gelanggang sendiri digunakan sepenuhnya dengan ledakan empat gol, sekaligus menghantar Pahang pulang untuk memberi fokus memburu gelaran naib juara Liga Super sahaja sebagai tiket ke saingan Piala AFC.

Kredit kepada Perak yang kini bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di dua peringkat separuh akhir.

Tetapi belum pun perlawanan bermula, sudah ada yang berani menghidupkan api provokasi mengenai latarbelakang dan pengalaman pahit membabitkan kedua-dua penyokong.

Chill out la!!!
Berfikirlah dengan matang dan jangan hati itu kekal menjadi hitam diselaputi bibit-bibit dendam hanya kerana kisah-kisah silam yang hanya akan mengundang perpecahan.

Baik JDT maupun Perak, ingatlah ini adalah masa terbaik untuk melakar sejarah di dalam sukan nombor satu negara!

Walaupun sekadar seri 1-1 di Larkin, namun kemenangan selesa berbekalkan empat gol di Stadium Hang Jebat membolehkan juara Liga Super itu beraksi tanpa tekanan untuk memburu tiket ke final buat kali kedua, menyingkirkan Melaka dengan agregat 5-2.

Sudah pasti dengan barisan dan skuad sedia ada, JDT dilabel pasukan pilihan untuk menjulang Piala Malaysia buat kali pertama selepas bergelar naib juara pada 2014, kalah menerusi sepakan penalti kepada Pahang di Bukit Jalil selain memburu kejayaan ‘double’ pada musim 2017.

Sementara bagi Perak, inilah masanya untuk menambah koleksi kejuaraan Piala Malaysia yang sudah dimenangi tujuh kali sebelum ini selain mengakhiri kemarau kejayaan domestik.

Penampilan terakhir dalam final Piala Malaysia dicatat pada 2007 selepas tewas 0-3 kepada Kedah. Benar dalam saingan liga, Perak berjaya melebur ego JDT di Ipoh, namun ini adalah saingan baru yang bakal berlangsung secara timbal balik.

Menyentuh tentang skuad Helang Merah pula, ramai juga yang agak sangsi dengan prestasi juara bertahan, Kedah, lebih-lebih lagi selepas tewas 1-3 kepada Felda dalam saingan liga. Kekalahan itu menipiskan peluang mereka untuk bergelar naib juara liga.





Namun, padang keramat di Darulaman sekali lagi membangkitkan iltizam untuk menyingkirkan pemenang terbanyak Piala Malaysia, Selangor, dengan agregat 4-2.

Andai Piala Malaysia yang menjadi rebutan, skuad Nidzam Adzha Yusof ini perlu menggunakan kelebihan di tempat sendiri untuk memburu penampilan kali ke-13 di pentas akhir.

Bagi Felda seperti orang Larkin cakap ‘they got nothing to lose’. Rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan liga menentang Kedah juga azimat penting memburu bekalan selesa di Jengka sebelum bertandang ke Alor Setar.

Sudah pasti mereka enggan menoleh ke belakang lagi kerana bakal mengakhiri musim 2017 dengan kejayaan cemerlang sekiranya berjaya melangkah ke final pada 4 November depan.

Walaupun pada awal musim bergelut dengan prestasi buruk, namun tindakan drastik pengurusan melantik jurulatih berpengalaman, Sathianathan, berjaya merubah nasib Felda menerusi sentuhan magisnya.

Malah, jangan terkejut kiranya mereka juga berjaya menyingkirkan Pahang dan Kedah untuk berakhir di belakang JDT sebagai naib juara Liga Super.

Kita berakhir di sini dahulu dan izinkan saya bermunajat mencari ilham untuk berkarya mengenai peluang ke empat-empat pasukan ini dalam separuh akhir nanti.  – stadiumastro



Comments

comments

,