Pemain Dapat Gaji Sebelum Berdepan PKNS – Presiden KAFA

KOTA BHARU: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan akan mengeluarkan sejumlah wang peribadinya bagi melunaskan gaji pemain The Red Warriors (TRW) sebelum menentang pasukan PKNS FC pada 27 September ini.

Usahawan wanita itu berkata, wang berkenaan akan menyelesaikan masalah gaji pemain bagi Julai dan Ogos yang akan diserahkan pada satu majlis bersama pemain nanti.

“Gaji pemain TRW akan dijelaskan sebelum perlawanan Liga Super menentang PKNS FC pada 27 September ini.

“Pembayaran itu membabitkan gaji bulan Julai kepada sebahagian pemain yang belum terima dan Ogos.




“Saya akan bayar menggunakan duit sendiri pada satu majlis yang akan diberitahu pada media nanti,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Bibi berkata, perkara itu diharap dapat membantu menaikkan semangat pemain sekaligus memberi kelebihan kepada TRW mencipta kemenangan ketika berdepan pasukan PKNS FC yang beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV nanti.

Katanya, keutamaan bagi KAFA kini adalah mahu mengekalkan pasukan TRW dalam Liga Super bagi musim 2018.

“Kita nak pemain bersemangat dan amat berharap untuk menang dalam dua baki perlawanan.





Selain itu, Bibi yang baru dilantik sebagai presiden KAFA bagi penggal 2017-2021 itu berkata beliau juga kini dalam usaha mahu menyemarakkan kembali sokongan pada penyokong dan peminat bola sepak Kelantan.

Katanya, satu pertemuan akan diadakan bersama Kelab Penyokong bagi mewujudkan satu kerjasama demi kemajuan pasukan.

“Saya akan panggil kelab penyokong dan jumpa tentang mata dengan mereka untuk membuat satu kerjasama demi memajukan pasukan.

“KAFA perlu duduk di bawah satu bendera dengan semua penyokong, tiada guna untuk berpecah kerana apa paling penting sekarang adalah pasukan perlukan sokongan padu yang kuat daripada semua penyokong dan dalam masa sama penyokong perlu memenuhi stadium setiap kali perlawanan berlangsung,” katanya.



Comments

comments

, ,