Kelayakan AFC B-16: Belasah Guam 14-1, Lim Teong Kim Mahu Pemain Fokus Bertemu Jepun

Image may contain: 11 people, people standing and outdoorSKUAD bawah 16 tahun negara (B-16) tidak berdepan masalah untuk menjadikan Guam sebagai ‘lauk’ apabila mudah membelasah pasukan kerdil itu 14-1 pada aksi kedua Kelayakan Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, hari ini.

Meskipun sudah layak ke saingan yang akan berlangsung selaku tiket tuan rumah, namun skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu tetap tampil dengan persembahan meyakinkan dan menyaksikan mereka mendahului skuad bimbingan Dominic Tacadina itu 5-0 pada babak pertama.

Dengan kejayaan membenam Singapura 6-1 pada aksi pembukaan Kumpulan J dan juga Guam, sudah pasti pengendalinya, Lim Teong Kim menuntut prestasi sama apabila mereka dijadual bertemu jaguh Asia, Jepun pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Ahad ini.




Seperti dijangka, pada aksi di Stadium Wibawa Mukti, Bekasi, Indonesia, Malaysia mudah memperoleh gol pertama menerusi Ikhwan Hafizo pada minit ke-11 sebelum Aiman Haikhal Azman menyempurnakan sepakan penalti tiga minit berselang untuk kedudukan 2-0.

Pengalaman bersama kelab Eropah sebelum ini nyata dimanfaatkan sepenuhnya apabila skuad negara terus menekan barisan pertahanan Guam dan Aleff Haedi Za Ba Ba meledak gol ketiga pada minit ke-23 sebelum sepakan penalti kedua disudahkan Faiz Khairi untuk gol keempat Malaysia pada minit ke-30.

Ketika Guam mengharapkan mereka hanya dibolosi empat gol pada separuh masa pertama, muncul Alif Abdul Mutalib yang menjaringkan gol kelima pada hujung babak pertama untuk Malaysia terus selesa 5-0 menuju ke masa rehat.

Mimpi ngeri Guam bersambung pada babak kedua apabila Harith Naem Jaineh menjaringkan gol keenam pada minit ke-47 dan Aiman mencetak gol kedua peribadinya dua minit berselang sebelum gol kelapan disumbangkan Alif pada minit ke-51.






Image may contain: 5 people, outdoorTidak cukup dengan lapan gol, Danish Ishak menambah derita Guam apabila meledak dua gol pada minit ke-58 dan minit ke-81 disusuli Danial Amali (m67 dan m77) dan Umar Hakeem Suhar Rezwan pada minit ke-72.

Guam beroleh gol sagu hati pada minit ke-84 menerusi Kyle Ko Halehale sebelum Aiman muncul penjaring terbanyak negara pada aksi itu apabila melengkapkan hatrik pada minit ke-89 untuk keputusan 14-1 buat Malaysia.

Comments

comments

,