Dakwa Hans Isaac Beli Gelaran Datuk, Zizan Nafi Gurau Keterlaluan

RUMAH siap, pahat berbunyi…Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) yang berlangsung semalam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) nampaknya masih diperkatakan sehingga hari ini.

Dalam kemeriahan majlis itu, timbul pula cerita yang kurang enak didengar apabila Zizan Razak selaku hos acara berprestij itu ter’over’ apabila lawak jenaka menyinggung perasaan sesetengah pihak termasuklah pelakon Hans Isaac.

Menurut aktor yang berumur 46 tahun itu, Zizan tidak sepatutnya memasukkan elemen lawak yang keterlaluan sehingga mampu menjejaskan imej dan namanya.

“Terus-terang saya memang kecewa Zizan membuat lawak mempersoalkan gelaran Datuk yang saya terima daripada Sultan Pahang.

“Lawak tersebut telah membuatkan nama dan imej saya terjejas. Dia sebagai seorang pelawak tidak seharusnya menggunakan eleman lawak sebegitu.

“Dia bukan sahaja mempertikaikan kredibiliti saya tetapi juga Sultan,” katanya dipetik laporan mStar Online.

Malam itu Zizan secara berjenaka ada menyatakan yang Hans telah membeli gelaran Datuk berkenaan pada tahun lepas.

Hans juga ada menyatakan posting yang dikongsikan di laman Instagramnya itu untuk mempertahankan rakan-rakan artis lain yang mendapat gelaran yang sama sepertinya.

“Saya hanya memberitahu perkara yang benar dan mempertahankan rakan-rakan yang lain. Dia tidak sepatutnya memperkecilkan kredibiliti orang lain.

“Saya terima gelaran ini secara profesional atas usaha saya selama 25 tahun di dalam industri seni.




“Macam-macam saya usahakan untuk memajukan industri. Bukan saya meminta-minta sendiri gelaran tersebut,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Zizan menafikan dakwaan tersebut kerana baginya hal itu tidak perlu diperbesarkan sebaliknya penonton sepatutnya meraikan kemenangan pemenang dalam majlis tersebut.

“Pada saya kalau penonton gelak dan terhibur itu sudah cukup dan pihak produksi juga suka dengan perjalanan majlis malam ini.

“Saya juga tidak rasa apa yang saya sampaikan malam ini terlalu kasar dan penonton juga bijak menerimannya.

“Saya tidak bergurau berlebih-lebihan kerana apa yang saya cakap ditapis oleh pihak produksi. Mereka tidak cakap apa-apa pun,” katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, peserta Raja Lawak musim pertama ini menyifatkan kritikan yang diterima sesuatu yang baik kerana dia menganggap dirinya sebagai ‘penarik’ bagi ramai orang yang menonton siaran langsung majlis tersebut.





Dalam pada itu, Hans mengakui ada menerima panggilan daripada pelakon Abang Long Fadil 2 berkenaan, namun tidak mengendahkannya kerana masih terasa dengan apa yang diperkatakan.

“Zizan ada hubungi saya sejak malam tadi. Tapi saya tidak mahu membalas segala panggilannnya.

“Buat masa ini, saya memang tidak dapat terima apa yang dia katakan,” tambah Hans.

Hans bersama dua orang lagi selebriti iaitu Datuk Norman Abdul Halim dan Datuk Ziela Jalil telah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC



Comments

comments