VIDEO Kafa Kesal Insiden Gaduh Penyokong Kelantan Dan Perak

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menganggap insiden kekecohan membabitkan penyokong Kelantan dan Perak sejurus berakhirnya pertemuan kedua-dua pasukan itu malam kelmarin boleh dielakkan sekiranya mereka menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

Naib Presidennya, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, pihaknya kesal dengan insiden tersebut kerana ia boleh mencemarkan nama baik kedua-dua pasukan dan imej bola sepak negara.

“Secara umumnya, sama ada baik penyokong Kelantan sendiri mahu pun penyokong lawan yang bertandang ke sini (Kota Bharu), mereka mesti hormati satu sama lain tanpa mengetepikan semangat kesukanan.

“Sepatutnya bila sesebuah pasukan itu kalah, mereka kena terima (kekalahan itu) dan pasukan yang menang pula, mereka boleh raikan cuma jangan ada provokasi, ejek-mengejek di antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka ‘Sesuci Lebaran’ Yakult bersama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan di Kota Bharu, semalam.






Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan berita atas talian berhubung kekecohan berlaku di luar Stadium Sultan Muhammad IV sebaik tamat perlawanan Liga Super antara Kelantan menentang Perak.

Pada aksi yang dimenangi The Bos Gaurus itu, kedua-dua penyokong pasukan tersebut dikatakan bertindak membaling objek dan kekecohan itu berlarutan selama 15 minit.

Difahamkan, insiden itu berlaku selepas penyokong Perak mengejek pasukan tuan rumah yang tewas pada perlawanan itu.

Kekecohan tercetus apabila penyokong Perak mula keluar dari stadium sebelum penyokong Kelantan bertindak menahan sebahagian mereka.

Kekecohan 15 minit itu turut dicemari insiden membaling objek.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Kafa sentiasa mengambil langkah pencegahan termasuk meningkatkan tahap keselamatan setiap kali membabitkan perlawanan di Kota Bharu.

“Walaupun ia mungkin berlaku di luar kawalan Kafa, namun pihak kami sebenarnya sentiasa berhati-hati malah buat persediaan awal termasuk menghadiri mesyuarat pengelolaan pertandingan. Jadi tak timbul soal kita tak titik beratkan soal keselamatan.

“Saya sendiri tak tahu kenapa insiden ini boleh terjadi kerana sepanjang tahun ini, tidak pernah berlaku kekecohan penyokong dan ini kali pertama (berlaku) di Kota Bharu,” katanya lagi.

Peniaga yang mahu dikenali Fendi berkata, dia menyedari insiden itu selepas terdengar bunyi bising berlaku sebaik perlawanan tamat pada jam 11.15 malam.

“Kejadian itu berlaku di depan mata saya dan melihat kedua-dua bertindak berkumpul untuk bergaduh.

“Nasib baik polis cepat bertindak kalau tidak peristiwa hitam pada tahun 2009 dahulu akan berlaku sekali lagi,” katanya.

Tindakan pantas pihak polis berjaya meleraikan kekecohan itu tanpa membabitkan sebarang kecederaan antara kedua-dua belah penyokong.

Comments

comments

,