Kim Swee Fokus Kelayakan Piala AFC B-23

KETUA jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu menjadikan kemenangan ke atas Myanmar dalam perlawanan persahabatan lalu dijadikan sebagai penanda aras kekuatan sebenar skuad kendaliannya sebelum berlepas ke Bangkok, esok bagi mengharungi kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23.

Sebaliknya, Kim Swee lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada persiapan sesi latihan anak-anak buahnya dengan lebih rapi sebelum memikirkan fokus bermula aksi pertama Kumpulan H bertemu Indonesia Rabu ini.

Kim Swee yang masih segar dengan kejayaan menewaskan Myanmar 2-0 di Stadium Shah Alam, Khamis lalu mengakui, beliau tidak tertekan untuk bermain di kelayakan tersebut biarpun kehilangan beberapa tonggak dari Pahang, Pulau Pinang dan Johor Darul Ta’zim.

“Masih lagi terlalu awal untuk saya memperkatakan tentang prestasi sebenar kita dan yang penting sepanjang dua hari ini, kita perlu lakukan latihan secara berperingkat. Saya harap semua akan berada dalam pasukan esok (hari ini) sebelum kita bertolak pada Isnin nanti (esok).





“Bagi saya tiada tekanan, ia hanya datang daripada perlawanan (kelayakan Piala AFC B-23) yang mana lebih penting untuk kita memikirkan apa yang perlu kita lakukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya semalam.

Dalam perkembangan sama, Kim Swee mendedahkan kepulangan tiga pemain iaitu Syazwan Zaipol Bahari, Tommy Mawat Bada dan Shamie Iszuan untuk menyertai sesi latihan skuad B-22.

“Pemain PKNP FC, Syazwan kembali bersama kita dan sudah tentu dia tidak boleh berlatih dengan kita di mana Syazwan bermain 90 minit semalam (kelmarin bertemu JDT II).

“Dua pemain dari Sarawak (Tommy dan Shamie) hanya akan tiba selepas perlawanan malam ini (semalam) untuk bersama kita. Esok (hari ini) adalah sesi latihan kita yang terakhir.

“Hanya tiga sahaja balik daripada kelab masing-masing, manakala Farhan Roslan masih lagi cedera dan akan bersama pasukan Kedah menjalani proses pemulihan. Terpulang kepada keadaan Farhan selepas balik dari Bangkok nanti,” ujarnya.

kosmo

Comments

comments

,