Misi Wajib Menang Malaysian Tigers Bertemu Korea Dan China

SKUAD hoki lelaki negara tidak mempunyai pilihan sekiranya mengimpikan slot ke pentas Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India akhir tahun depan.

Malaysian Tigers wajib menewaskan Korea Selatan yang menghuni ranking ke-12 dunia awal pagi esok dan China (ke-18 dunia) awal pagi Rabu pada dua perlawanan terakhir Kumpulan A Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Stadium Lee Valley, London ketika ini.

Ini kerana dua kemenangan itu membolehkan Malaysian Tigers yang berada di ranking No. 14 dunia mara ke peringkat suku akhir kejohanan tersebut, sekali gus menjamin tempat ke pentas Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar.





“Malaysia perlu menang dua perlawanan terakhir menentang Korea Selatan dan China. Ia akan menentukan sama ada kami layak ke peringkat suku akhir atau tidak selepas ini,” ujar ketua jurulatih Malaysian Tigers, Stephen van Huizen.

Misi besar itu wajib dilaksanakan dengan baik para pemain ekoran dua kekalahan berturut-turut skuad negara kepada pasukan No. 1 dunia, Argentina 2-5 dan dibelasah 3-7 oleh England (No. 7 dunia) kelmarin.

Comments

comments