Tiga Suspek Skim Cepat Kaya JJPTR Dibebaskan

PETALING JAYA: Pengasas  JJ Poor to Rich (JJPTR), Johnson Lee dan dua pembantunya akan dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, ketiga-tiga suspek akan diserahkan kepada pihak polis di Pulau Pinang.

Tiga suspek itu ditahan pada pagi Selasa lalu dan pada mulanya perintah reman dikeluarkan sehingga Khamis.

Namun, pihak polis memohon tempoh reman itu disambung lagi tiga hari tetapi pihak mahkamah hanya membenarkan tambahan reman selama sehari.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, JJPTR berjaya mengumpul wang pelaburan syarikat itu yang bernilai RM1.7 bilion.

Acryl Sani dalam satu kenyataan minggu lepas berkata, susulan siasatan ke atas JJPTR, skuad Anti Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, JSJK, Bank Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Hasil Dalam Negeri, Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara dan Sekuriti Siber menyerbu lapan lokasi berlainan di Pulau Pinang.

Seramai 15 pekerja dan empat pelabur turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Siasatan terhadap JJ Poor to Rich (JJPTR) mendapati puluhan juta ringgit berkemungkinan besar dipindahkan ke akaun di luar negara.

Tiada kesan yang komputernya digodam seperti didakwa oleh pengasasnya, Johnson Lee.

Sumber polis berkata siasatan tidak menunjukkan syarikat tersebut terlibat dengan perdagangan pertukaran mata wang asing (forex).

Difahamkan sepasukan pegawai dari Bukit Aman dan Bank Negara telah membekukan beberapa akaun bernilai jutaan ringgit.

Namun sebahagian besar wang tersebut telah pun dipindahkan ke luar negara.

Pasukan tersebut turut sedang memastikan fakta jika jumlah kehilangan sebenar adalah RM1.73 bilion atau sama ada terdapat kira-kira puluhan ribu menjadi mangsa di dalam dan luar negara.

“Terdapat juga kemungkinan bahawa Bank Negara akan cuba bekerjasama dengan rakan sejawatan di luar negara untuk menjejaki wang tersebut,” kata sumber itu.

Mereka berkata beberapa laporan polis termasuk satu di Ledang, Johor telah dibuat.

JJPTR menjadi tajuk utama di muka depan akhbar utama beberapa minggu lalu apabila syarikat itu mendakwa mengalami kerugian RM1.738 bilion akibat kerja penggodaman.

Comments

comments