Zahasmi Gusar Jika Ghaddar Dipancing Pasukan Lain Bulan Depan

Reputasi Mohammed Ghaddar selaku penjaring terbanyak Liga Super sekarang mencetuskan perasaan berbelah bagi jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail.

Pada ketika beliau gembira meraikan prestasi Ghaddar, terselit perasaan bimbang di hatinya kemungkinan mereka bakal kehilangan ayam tambatan itu pada jendela perpindahan Mei ini.

Ia susulan keputusan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang kini membenarkan pemain import berpindah ke pasukan lain pada jendela perpindahan kedua.

Ini sekali gus membolehkan pasukan memancing pemain lawan tanpa perlu menunggu sehingga akhir musim seperti sebelumnya.

“Sebagai jurulatih, sudah pasti saya gembira apabila Ghaddar melaksanakan tugasnya dengan cemerlang kerana memang itu yang kita harapkan daripada dia. Apatah lagi dia kini sedang berada pada prestasi terbaik sehingga muncul penjaring terbanyak.

“Tapi pada masa sama tidak dinafikan timbul juga perasaan risau kerana pemain hebat seperti Ghaddar sentiasa menarik perhatian pasukan lain. Apatah lagi peraturan baru sekarang membenarkan pemain import berpindah pada pertengahan musim.

“Jika ini berlaku, sudah pasti Kelantan akan kembali pincang kerana Ghaddar sandaran kami. Tidak dinafikan sumbangannya terlalu besar sehingga meletakkan Kelantan di kedudukan sekarang.





“Saya berharap kebimbangan ini tidak menjadi kenyataan kerana jika Ghaddar pergi, memang sukar untuk kami mencari pengganti,” kata jurulatih itu.

Malah, Zahasmi secara terbuka merayu kepada pasukan yang berhajat memancing penyerang Lubnan itu agar membatalkan niat mereka demi menjaga keharmonian serta keserasian yang mula terbentuk dalam pasukan bimbingannya.

“Pemain Kelantan sudah mula mencapai keharmonian, keserasian serta semangat berpasukan tinggi. Jika Ghaddar pergi, rosak segala usaha kami selama ini.

“Memang kami tidak ada kuasa menghalang jika ada pasukan mahu mendapatkan pemain itu. Tapi, saya merayu, jangan ambil Ghaddar, carilah pemain lain. Usah rosakkan pasukan kami,” ujar Zahasmi.

Ghaddar kini sedang mendahului carta penjaring terbanyak dengan 16 gol, empat daripadanya ketika membenam Pulau Pinang 5-1, Sabtu lalu. Dia turut mencipta hatrik dalam perlawanan menentang T-Team dan Perak. – HMetro

Comments

comments

, ,