Marcote Nafi Tuntut Gaji Tinggi, KFA Senarai Pendek 3 Jurulatih Baru

Kuala Lumpur: Bekas jurulatih kecergasan Kedah Ramon Marcote menafikan menuntut bayaran gaji tinggi sehingga menyukarkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menawarkan kontrak jurulatih baru skuad Helang Merah.

Katanya, apa yang beliau harapkan daripada KFA adalah supaya dapat memberi tempoh masa lebih lama untuk mengendalikan skuad juara Piala Malaysia itu.

“Kami sudah mengadakan perbincangan beberapa hari lalu dan sekarang saya hanya menunggu keputusan.

“Saya ada membaca laporan media Malaysia bahawa soal bayaran menjadi masalah. Itu tidak benar. Sebaliknya ia hanya membabitkan tempoh kontrak itu dan saya berharap perkara ini dapat dipersetujui bersama,” kata Marcote ketika dihubungi Arena Metro.

Keputusan jurulatih Tan Cheng Hoe meninggalkan Kedah dengan menerima tawaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi tugas penolong jurulatih Harimau Malaya membuatkan KFA terpaksa mencari pengganti.

Antara nama dikaitkan dengan tugas itu ialah Marcote yang kini bertugas di Jabatan Metodologi kelab terkemuka La Liga Sepanyol, Atletico Madrid.





Ketika bersama Kedah pada 2014-2015 sebagai jurulatih kecergasan, Marcote yang memiliki lesen kejurulatihan profesional Persekutuan Bolasepak Eropah (UEFA) pernah memangku jawatan jurulatih pada peringkat suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia 2015 ketika Cheng Hoe mengikuti kursus kejurulatihan di China.

Marcote bagaimanapun enggan mendedahkan butiran kontrak beliau inginkan sebaliknya hanya mahu yang terbaik buat keluarganya dan Kedah.

“Kita akan lihat nanti. Saya cuma melakukan yang terbaik untuk mendapatkan perjanjian yang boleh memberi kebaikan kepada keluarga saya dan Kedah.

“Jika Kedah memberi tawaran yang baik, saya boleh menyelesaikan segala urusan kontrak saya dengan Atletico,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedang mengenal pasti tiga calon jurulatih baharu bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang akan meninggalkan pasukan itu bagi menggalas tugas sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya.

Naib Presiden KFA Datuk Badrol Hisham Hashim berkata tiga nama terdiri daripada jurulatih tempatan dan asing itu telah dicadangkan dalam mesyuarat jawatankuasa KFA, baru-baru ini.

“Kita ingin pastikan jurulatih baharu ini serasi dan paling penting, kita ingin cari yang terbaik buat pasukan Kedah yang kini berada pada prestasi cemerlang. Kita mahu lihat keupayaan mereka dahulu,” katanya.

Nama jurulatih yang disebut-sebut dalam senarai pendek KFA ialah Marcote, Rajagobal dan Azrai Khor.

Comments

comments

, ,