Jaga Tingkah Laku Atau Berdepan Tindakan Disiplin – FMLLP

PETALING JAYA: Pemain profesional Liga Malaysia bakal berdepan tindakan disiplin daripada ersatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya mereka gagal menjaga tingkah laku, bukan sekadar di dalam padang tetapi juga melibatkan kontroversi di luar padang terutamanya dalam media sosial.

Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) berkata, pemain dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada terpalit dengan provokasi dan kontroversi di luar padang memandangkan mereka adalah ‘role model’ dan perlu menghormati semua pihak termasuk pemain lawan, pengadil, pegawai pertandingan malah penyokong.

Tambah FMLLP, walaupun pemain digalakkan untuk memiliki akaun media sosial bagi tujuan mengeratkan hubungan dengan penyokong, tetapi mereka juga terikat dengan kontrak dan etika yang mana perlu menunjukkan contoh yang baik sama ada di dalam dan di luar padang.

“Pemain bola sepak profesional bukan sekadar menjadi pemain yang diikat kontrak oleh pasukan, tetapi mereka adalah duta pasukan yang memelihara serta menjaga imej diri, pasukan dan Liga Malaysia.

“Segala tindakan (pemain) termasuk di media sosial akan menjadi perhatian dan ikutan peminat.

“Segala bantahan atau ketidakpuasan hati mestilah disalurkan kepada pihak berwajib dengan cara sepatutnya, antaranya laporan, bantahan atau surat rasmi.

“FMLLP akan merujuk mana-mana pihak yang terlibat (kontroversi) ke Jawatankuasa Disiplin FAM untuk tindakan selanjutnya,” jelas FMLLP menerusi satu kenyataan dalam laman Facebok, Football Malaysia LLP.

Kenyataan FMLLP itu dipercayai merujuk tindakan segelintir pemain Liga Malaysia yang mengambil pendekatan meluahkan rasa tidak puas hati menerusi laman sosial.

Baru-baru ini, beberapa pemain sebuah pasukan Liga Super memuatnaik gambar pengadil perlawanan yang disunting dengan imej seperti lanun sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil tersebut dalam satu perlawanan pada Sabtu lalu. – mStar

Comments

comments

, , ,