Cheng Hoe Enggan Layan Khabar Angin

KETUA Jurulatih Terbaik 2016, Tan Cheng Hoe mula dikaitkan dengan pasukan kebangsaan sebagai penolong jurulatih di dalam usaha untuk mengembalikan semula kegemilangan Harimau Malaysia.

Sentuhan Cheng Hoe mula jadi perhatian apabila berjaya melonjakkan semula Kedah sebagai sebuah kuasa besar bola sepak tempatan, malah kini muncul pendahulu Liga Super 2017 selepas lapan perlawanan.

Di bawah kendaliannya, Kedah muncul juara Liga Perdana 2015, juara Piala Malaysia 2016 dan terbaru juara Piala Sultan Ahmad Shah 2017.

Lebih menarik perhatian setakat ini, pendedahan berterusan kepada barisan muda menyaksikan 16 pemainnya berumur bawah 25 tahun berada dalam skuad utama malah kebanyakannya sudah mencapai pengalaman tertinggi di pentas domestik iaitu mara dua kali berturut-turut pada final Piala Malaysia 2015 dan 2016.





Bagaimanapun Cheng Hoe berkata, perkara itu hanya khabar angin dan beliau tidak mahu melayan perkara tersebut kerana perlu fokus kepada persiapan Hijau Kuning.

Menurutnya, tidak semua kenyataan yang menjadi tular adalah tepat malah perlu mendapatkan sumber sahih terlebih dahulu untuk disahkan.

“Apa yang sedang berlegar-legar di media sosial sekarang mengaitkan saya dengan kem kebangsaan hanyalah khabar angin dan saya tidak mahu mengulas perkara itu lebih lanjut.

“Fokus utama kini adalah bersama Kedah dan saya mempunyai tugas di sini yang perlu diselesaikan terutamanya saingan suku akhir Piala FA menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di mana tinggal seminggu sahaja lagi untuk melakukan persiapan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelas Cheng Hoe, Hijau Kuning kini memberi tumpuan kepada pemain yang jarang diturunkan dalam kesebelasan utama malah empat pemain Piala Presiden Kedah juga turut dipanggil untuk menjalani latihan bersama.

Menurutnya, ketiadaan lapan pemain utama yang kini bersama pasukan kebangsaan memberi ruang kepada dirinya memberi tumpuan kepada barisan simpanan.

Comments

comments

, , ,