Wang hantaran punca lelaki bunuh bakal mentua

KUDAT 30 Dis. – Hanya ke­rana perselisihan faham berhubung wang hantaran kahwin, seorang warga a­sing tergamak mengelar leher ba­kal bapa mentuanya sehingga mati serta mencederakan isteri dan tiga anak perempuan mangsa.

Dalam kejadian di Kampung Narandang pada pukul 1.50 petang semalam, suspek yang berusia 21 tahun dan berasal dari Filipina mengelar leher mangsa, Jotin Yojunpin, 42, sehingga hampir putus di rumahnya kerana berang dengan pertengkaran yang berlaku.

Ketua Polis daerah, Supe­rintenden Douglas Nyeging Taong berkata, isteri mangsa, Saulin Maridik, 36, cedera di bahagian tangan, kepala dan leher manakala tiga anak mereka, Suzianah, 17; Erna Salviani, 11, dan Natalia, 5, cedera di beberapa bahagian badan.

“Mayat mangsa ditemukan di rumah itu dalam keadaan berlumuran darah manakala isteri dan tiga anaknya turut cedera dipercayai akibat ditetak oleh suspek. Mereka telah dihantar ke hospital berdekat­an.





“Siasatan awal mendapati punca pembunuhan ini adalah disebabkan salah faham membabitkan wang hantar­an bagi perkahwinan suspek dengan salah seorang anak perempuan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Douglas, pihak­nya yang menerima aduan mengenai kejadian itu pada pukul 4.05 petang menghantar sepasukan anggota ke lokasi sebelum menemukan mayat mangsa.

Jelasnya, satu gerakan memburu suspek segera dilakukan sebelum dia ditahan di kawasan berhampiran.

“Suspek berjaya diberkas kira-kira 500 meter dari rumah mangsa dan polis turut menemukan sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

Comments

comments