Ronaldo Pemain Terbaik 2016, Maradona Kecewa Dengan Barcelona

Cristiano Ronaldo dinobatkan sebagai pemenang sulung Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.

Ronaldo mengetepikan dua pencabarnya, Lionel Messi dan Antoine Griezmann, untuk merangkul anugerah baru yang diperkenalkan FIFA itu, selepas trio itu disenarai pendek di kalangan 23 pemain bintang dunia yang lain.

Kejayaan itu menambah koleksi Ballon d’Or yang dimenangi pemain berusia 31 tahun itu bulan lalu, iaitu Anugerah Pemain Terbaik keempat dalam kariernya.

Sementara itu Diego Maradona kecewa bahawa Lionel Messi dan Barcelona memilih untuk tidak hadir ke Zurich bagi meraikan majlis Anugerah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, dengan Roberto Carlos dan Michel Salgado turut mengkritik tindakan itu.

Messi yang menerima pencalonan untuk anugerah Pemain Lelaki Terbaik pada awalnya dijangka akan tiba bersama-sama rakan sepasukan Barca, Luis Suarez, Neymar dan Gerard Pique.

Namun, kelab itu mengumumkan para pemain mereka tidak akan menyertai majlis di Switzerland itu berikutan jadual perlawanan Copa del Rey bertemu Athletic Bilbao, awal pagi esok.

Pemain antarabangsa Argentina itu diatasi oleh bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, dan Maradona melahirkan kekecewaan apabila rakan senegaranya itu gagal menghadirkan diri.

“Saya kecewa dengan Messi, dengan hanya menonton di rumah anda tidak dapat berjuang untuk apa-apa atau sesiapa — di sini anda boleh berjuang,” kata beliau kepada TVE.





“Saya tidak tahu mengapa Barcelona tidak menghadiri majlis penting ini. Mereka mempunyai keutamaan dan keutamaannya adalah Leo tidak datang. Saya berpendapat dengan datang ke sini (Zurich), mereka boleh lebih berjuang berbanding di Barcelona.”

“Saya sedih dan kesal bahawa Leo dan rakan sepasukannya tidak hadir. Mereka memiliki pemain hebat dan kami mahu melihat kehadiran mereka,” kata bekas tonggak antarabangsa Brazil itu sebelum majlis berlangsung.

“Kami mahu melihat Messi dan para pemain handalan lain serta jurulatih Barcelona di sini. Ini adalah majlis anugerah FIFA. FIFA adalah kuasa tertinggi dalam bola sepak. Jadi, semua orang patut ada di sini.

Maradona menyampaikan Anugerah Pengurus terbaik kepada Claudio Ranieri

“Cristiano sedar mengenainya dan saya berasakan Leo patut tahu dia harus berada di sini. Ini perlu diubah.

“Real Madrid juga mempunyai perlawanan pada minggu ini dan mereka semua tiba di Zurich. Kewajipan untuk menang adalah sama buat kedua-dua kelab.”

Salgado turut menyatakan dia menjangkakan tindakan yang lebih baik daripada Barca sebagai sebuah kelab terbesar di dunia.

“Ketika ini Real Madrid adalah kelab terbaik di dunia dan mungkin ini mempengaruhi keputusan pemain Barcelona. Tindakan Barcelona untuk tidak menghantar pemain terbaik mereka adalah salah.

“Saya sedar mereka mempunyai isu dengan FIFA sebelum ini, namun Barcelona perlu faham bahawa FIFA sedang berubah. Ini bukan tindakan yang anda jangkakan daripada sebuah kelab gergasi.”

Comments

comments

, , , ,