Kanak-kanak lelaki ditinggalkan ibu dijaga datuk

TAMPIN – Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dijumpai ditinggalkan bersendirian di rumah oleh ibunya akan diletakkan di bawah jagaan sementara datuknya, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Norhayati Omar.

Beliau berkata, datuk kanak-kanak itu, Ambia Timon, 59, telah menyatakan persetujuan untuk menjaga Mohamad Adam dan dua adik beradiknya.

“Semasa lawatan diadakan, Mohamad Adam kelihatan riang dan sihat dan pemeriksaan fizikal oleh doktor juga mendapati tiada kecederaan atau kesan penderaan pada badannya.

“Melalui perbincangan tadi, datuknya sudi menjaga Mohamad Adam dan kami di pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan memberi bantuan yang diperlukan oleh keluarga ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak itu di Hospital Tampin di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah JKM negeri Mohamad Hapil.

Katanya tiga adik beradik kanak-kanak itu yang berusia 16, 14 dan 13 tahun, merupakan penerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan sejak tahun 2011, yang disalurkan atas nama ibunya, dan menurutnya anak sulung wanita itu selama ini dijaga neneknya sebelah bapanya.

“Memandangkan ibunya kini dalam tahanan polis, pihak JKM akan memindahkan bantuan tersebut ke atas nama datuknya, sebagai penjaga sementara yang sah,” katanya.

Selain bantuan kewangan, Norhayati berkata pihaknya juga akan membantu Mohamad Adam mendapatkan sijil kelahiran.

“Sijil kelahiran ini penting supaya masa depan Mohamad Adam terjamin dan dia dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini Mohamad Adam masih belum dibenarkan keluar hospital.





Terdahulu Bunyi suara seorang kanak-kanak menangis dengan kuat dari sebuah rumah papan di Kampung Parit Buloh, di sini, telah terungkai apabila seorang kanak-kanak berumur tiga tahun telah berjaya ditemui dikurung dalam rumah berkenaan seorang diri.

Dia ditemui dalam sebuah bilik dalam yang amat kotor tanpa sebarang pakaian bersendirian di dalam rumah berkenaan.

Polis menerima aduan daripada penduduk yang terdengar kanak-kanak menangis di dalam rumah dalam keadaan gelap dan berkunci jam 12:45 pagi.

Pihak polis mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang tinggal bersendirian.

“Mangsa telah dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Tampin dan diberikan makanan serta minuman oleh anggota balai Air Kuning Selatan.”

“Berdasarkan siasatan ibu mangsa telah meninggalkan anak bongsunya itu secara bersendirian sejak jam 6 petang lagi.”

“Siasatan awal mendapati ibu mangsa berusia 29 tahun menyembunyikan kelahiran anak bongsunya itu daripada orang ramai termasuklah keluarganya sendiri.  Bahkan, suami keduanya juga tidak mengetahui itu adalah anak wanita berusia 29 tahun berkenaan kerana, si isteri menyatakan menjaga anak kawannya,” katanya.

Dalam kejadian itu, Hamazah memaklumkan yang ibu kanak-kanak berkenaan telah meninggalkan anaknya seorang diri dan hanya membawa pulang dua anak lelakinya hasil perkahwinan pertama ke kampung yang terletak di Jelai kerana ahli keluarga tidak mengetahui kewujudan anak bongsunya itu.

Menurutnya, wanita berkenaan pulang ke kampung bagi menjaga ibunya yang sakit, selain menguruskan ibu tirinya yang baru sahaja terbabit kemalangan.

Comments

comments