Faiz Dah Selalu Buat..korang Jer Tak Tau – Hardi Jaafar

Itu reaksi spontan bekas arkitek prolifik Telekom Melaka, Selangor, Perak, Felda United dan Perlis – Hardi Jaafar.

Bagi pemain yang dikenali Wak Tong ini Faiz dilahirkan sebagai pemain berbakat besar dan memilik teknik sepakan percuma terbaik dilahirkan negara.

Kesempatan penulis bertemu 4 mata dengan Hardi di kediamannya membuka ruang untuk mengenali Faiz Subri – calon Anugerah Puskas 2016.

Hardi sendiri memiliki sejarah pahit sebagai pemain tentang Faiz Subri.

Kerana sepakan magis pemain Pulau Pinang inilah, Perlis tersingkir dari saingan Piala F.A, 2 tahun lalu.

Faiz meledak gol tunggal Pulau Pinang menerusi sepakan percuma yang menuju ke bucu gawang Perlis sekaligus tersingkir di pusingan kedua.

Hardi mengakui Faiz merupakan pakar sepakan percuma dan kerap melakukannya. Cuma ramai yang tidak mengetahuinya kerana bukan semua aksi skuad Harimau Kumbang mahupun T-Team, Kelantan dan Terengganu (bekas pasukan Faiz) mendapat liputan krew televisyen.

Malah Faiz juga kerap melakukan sepakan lencong menarik sepanjang kariernya. Jelaslah pemain kelahiran Kedah ini wajar diangkat sebagai pakar sepakan percuma tulen.

Dalam pada itu Hardi mengakui latihan yang kerap pastinya membantu Faiz selain teknik sepakan istimewa dimilikinya.

Hardi sendiri juga merupakan pakar sepakan percuma di zaman kegemilangannya. Bakat sensasinya mula dikesan ketika mewakili Telekom Melaka.






Datuk Khaidir Buyong dan Irfan Bakti merupakan jurulatih yang mengilap bakat sepakan percuma bekas pemain berasal dari Perak ini.

Sangat mengagumi bekas arkitek digeruni, Azizul Abu Hanifah, Hardi ada pengalaman manis dengan penjaga gol, Nasril Nourdin.

Masih segar diingatannya bagaimana sepakan percuma berbisa dan melencongnya menewaskan Nasril yang ketika itu mewakili Perak. Ironinya, Nasril jugalah yang terpedaya dengan sepakan magis Faiz Subri!

Tetapi kenangan terindah yang tidak dilupakan Hardi ialah sepakan percuma jarak jauh di Sukan Asia Doha 2006.

Sepakan percuma yang dilakukan Hardi melayang dari jarak lebih 40 meter dan terus menerjah jaring menewaskan antara penjaga gol remaja terbaik China ,Wang Dalei yang hanya mampu menggelengkan kepala.

Tetapi tahukah anda? Hardi melakukan 100 sepakan percuma ketika sesi latihan dalam usaha mengekalkan kualiti sepakannya.

Dia juga percaya Faiz Subri melakukan latihan ketat untuk kekal berbisa. Dan gol ajaib yang dilakukan Faiz terhasil daripada skil dan teknik luar biasa dan bukannya nasib.

Meremang bulu roma Hardi setiap kali menonton gol Faiz Subri. Justeru jauh disudut hatinya Hardi yakin – Faiz akan menggondol Anugerah Puskas 2016!

* ikuti temubual penuh bersama Hardi Jaafar dalam program khas tentang Faiz Subri di Astro Arena nanti.

stadiumastro

Comments

comments

, , ,