Faiz Bukan Penanda Aras Baharu Bola Sepak Negara – TMJ

KUALA LUMPUR: Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyanggah kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyifatkan kejayaan pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 sebagai penanda aras baharu dalam bola sepak negara.

Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, sama sekali tidak setuju dengan kenyataan itu apabila menyifatkan bola sepak Malaysia masih jauh ketinggalan, terutama membabitkan isu korupsi, ranking dunia dan sistem pengurusan pasukan berbanding Thailand, Vietnam, Filipina atau Indonesia yang semakin meningkat maju.

“Saya dan kelab saya tidak mahu tergolong dalam golongan mentaliti orang-orang Malaysia.

“Ini adalah pencapaian individu yang bagus tetapi di manakah bola sepak tanah air sekarang ini dari segi korupsi, ranking dunia dan sistem pengurusan pasukan berbanding pasukan seperti Thailand, Vietnam, Filipina atau Indonesia yang sedang meningkat maju? “Jadi, apa yang perlu saya banggakan?

Benar pencapaian Faiz Subri adalah bagus tetapi apabila FAM membuat kenyataan bahawa pencapaian tersebut adalah tanda aras baharu bola sepak Malaysia, saya tidak setuju,” kata Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam kenyataan menerusi akaun Facebook JDT, Johor Southern Tigers (JST), hari ini.





Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata kejayaan Mohd Faiz menjadi penanda aras baharu dalam arena bola sepak tanah air untuk mencapai kecemerlangan di persada antarabangsa. Katanya, kejayaan itu membuatkan lebih ramai pemain lain akan berusaha untuk mencapai kejayaan di pentas dunia. Mengulas lanjut, Tunku Ismail menegaskan, tanda aras baharu dalam bola sepak tanah air adalah JDT.

Katanya, ia berdasarkan pencapaian kelab itu menerusi Piala AFC, selain bagaimana dunia luar mengenali JDT dan memberi pengiktirafan tinggi terhadap projek yang dilakukan pihak pengurusan secara profesional. “JDT sepatutnya menjadi contoh kelab yang perlu diikuti oleh semua pasukan dalam negara.

Bukannya meletakkan seorang yang menjaringkan satu gol sebagai tanda aras. “Saya lebih bangga memberi pengiktirafan kepada pemain seperti Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Santokh Singh, Mokhtar Dahari, Amri Yahyah, Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Safee Sali, Badrol Radzi, Indraputra, Khairul Fahmi dan Hairuddin Omar kerana mereka bukan saja menjaringkan gol setiap musim tetapi banyak mencapai kejayaan di dalam kelab dan memberi sumbangan kepada pasukan negara.

“Saya masih mengiktiraf pencapaian Faiz Subri tetapi saya tidak mahu mengangkat beliau setinggi langit seperti media cetak dan laman-laman media sosial serta rakyat Malaysia lakukan sekarang ini. “Sikap beginilah seseorang manusia itu berasa selesa dan cepat berpuas hati,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Faiz.

BH

Comments

comments

, , , ,