TMJ Sesuai Sebagai Presiden Bukan Penasihat FAM – Raja Ahmad

Image result for Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja OmarKUALA LUMPUR 17 Dis. – Jawatan Penaung dan Penasihat Diraja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat tidak sesuai untuk seseorang yang berpengaruh seperti Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebaliknya kerusi No. 1 badan induk tersebut paling ‘afdal’ diisi pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Itu pandangan peribadi bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berhubung kesediaan Tunku Ismail untuk membantu bola sepak Malaysia menerusi penglibatan dalam FAM.

Bagaimanapun, TMJ menawarkan Tan Sri Aseh Che Mat menjadi Presiden dan beliau akan bertindak sebagai Penaung atau Penasihat Diraja, seperti yang disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Wira Yusoff Mahadi, kelmarin.

Raja Ahmad Zainuddin berpendapat, jawatan Penaung atau Penasihat Diraja dirasakan tidak perlu diwujudkan kerana kuasa eksekutif hanya terletak di tangan Presiden.

“Bagi saya, jawatan paling sesuai untuk TMJ adalah Presiden. Tak pernah berlaku (ada jawatan Penaung atau Penasihat Diraja) dalam FAM. Ini kerana, sesuatu keputusan sukar dibuat kalau ada individu di belakang tabir sedangkan yang berkuasa adalah kerusi No. 1 FAM.





“Kita sedia maklum TMJ berkeras tidak mahu menjadi Presiden bagi penggal seterusnya, kalau macam itu ahli gabungan FAM cari individu lain. Tetapi bagi saya, tiada pengganti sesuai melainkan Tunku Ismail.

“Kalau Tan Sri Tony Fernandes (pemilik Queens Park Rangers) atau Tan Sri Vincent (pemilik Cardiff City) mahupun Datuk Dr. Noordin Ahmad (pemilik Bari) menerajui FAM, mungkin sukar sebab mereka merupakan tokoh perniagaan…memimpin pula adalah sesuatu yang berbeza,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Selain Tunku Ismail, antara individu yang pernah dikaitkan dengan jawatan tersebut adalah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa; Pengerusi Jawatankuasa Intergriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat dan dua tokoh korporat, Tan Sri Tony Fernandes serta Datuk Seri Idris Jala.

Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar FAM mengadakan satu seminar untuk mengkaji masa depan dan hala tuju badan induk tersebut sebelum musim baharu Liga Malaysia bermula.

“Lakukan percambahan idea, dengar pandangan daripada ahli gabungan. Tentukan hala tuju. Buat seminar itu sekarang sebab kalau saingan bola sepak dah mula, ia sukar untuk dilaksanakan,” katanya.

Kongres Pemilihan FAM ke-53 akan diadakan pada 25 Mac tahun depan, dengan senarai pencalonan perlu dikemukakan selewat-lewatnya 23 Januari 2017. Selepas itu, calon akan diminta membuat ketetapan sama ada mahu bertanding ataupun tidak.

Utusan

Comments

comments

, , ,