Belum Ada Penaja Tampil Berunding Dengan KAFA

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan tiada wakil daripada syarikat yang mendakwa mahu membantu menaja The Red Warriors (TRW) tampil berunding dengan persatuan itu.

Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, berkata dalam keadaan persatuan menghadapi kemelut kewangan, banyak pihak yang menawarkan diri menjadi penaja TRW tapi tiada sebarang tindakan susulan diambil selepas menyatakan persetujuan menjadi penaja.

“Kemunculan mereka ini yang mendakwa mereka sebagai bakal penaja utama membantutkan hasrat penaja lain yang benar-benar ikhlas membantu KAFA. “Mereka sepatutnya terus berunding selepas membuat kenyataan media bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kepada penaja lain dan peminat.

“Sehingga kini, KAFA masih menunggu kehadiran syarikat terbabit bagi mengadakan rundingan lanjut berhubung terma dan syarat jika benar-benar mereka ingin menjadi penaja.





“Kalau mereka ikhlas ingin membantu, mereka seharusnya segera berunding dengan KAFA untuk memuktamadkan keputusan dan membuat sebarang pengumuman rasmi membabitkan tajaan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBBSK), di Hotel Habib, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor; Penyelaras BBBSK, Datuk Takiyuddin Hassan; Pengerusi BBBSK, Yassin Mohd Noor; Presiden Era 80, Salim Mahmud Muhaidin dan beberapa bekas pemain.

Sebelum ini dilaporkan, KAFA memutuskan untuk menarik diri daripada Liga M musim depan berikutan kekangan kewangan dihadapi selain gagal mendapat penaja utama. Namun, skuad itu dilihat sudah boleh menarik nafas lega selepas tiga syarikat, termasuk RedONE Malaysia dan SuperBest Power Health Food and Beverages (SuperBest) dan MOCCIS Furniture Sdn Bhd (MFSB) menyatakan kesediaan untuk menaja TRW.

KAFA memerlukan RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan itu bagi musim depan. Ketika ini, persatuan itu hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil.

Comments

comments

, ,