Annuar Musa Masih Intai Jawatan Presiden FAM

BAPA pembangunan bola sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa tetap mahu menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tanpa berselindung, Annuar mendedahkan seleranya terhadap sukan bola sepak masih lagi tinggi biarpun sudah melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) 8 Novemer lalu.

Annuar berkata, walaupun ramai yang mempersoalkan tindakannya itu, namun beliau optimis mampu melaksanakan tugas tersebut sekiranya diberikan peluang.

“Ada yang kata nak pimpin Kelantan pun tak mampu, macam mana dengan Malaysia. Kelantan tak mampu kerana tidak mempunyai dana (tidak mendapat bantuan dari negeri).





“Bola sepak Malaysia ramai yang sedia membantu termasuk Kerajaan Malaysia dan badan korporat,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Annuar sedia bertanding jawatan Presiden FAM sekiranya mendapat sokongan ahli gabungan badan induk bola sepak negara itu.

Annuar memberitahu, dia menyuarakan hasrat tersebut selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertegas tidak mahu menerajui pucuk pimpinan badan induk itu.

Katanya, beliau tidak mahu berlawan untuk merebut jawatan tersebut pada sesi pemilihan itu nanti.

”Kalau orang yang nak ambil alih jawatan No. 1 itu mestilah datang daripada salah seorang 19 presiden badan induk bola sepak negeri yang bernaung bawah FAM,” ujarnya.

Comments

comments

, ,