Akibat Roti Canai, Anggota UTK Terburai Perut Ditoreh Kerambit

GOMBAK – Seorang anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman cedera parah dengan ususnya terburai keluar dari perut selepas ditoreh dengan senjata tajam dipercayai ke­rambit di lobi Menara A, Kondominium Selayang Point, Selayang dekat sini semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 6 pagi itu, perut anggota berpangkat konstabel berusia 26 tahun itu luka teruk selepas mangsa bergelut dengan dua orang suspek yang disangkanya pekerja sebuah restoran di kondominium berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pada mulanya mangsa bersama tiga lagi rakannya terdiri daripada dua anggota polis dan seorang orang awam pergi ke restoran tersebut untuk minum.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada tindakan mangsa membuat pesanan roti canai dengan suspek yang disangkanya pekerja restoran berkenaan.





“Berikutan itu, semasa suspek beredar dari restoran berkenaan, seorang daripada suspek dikatakan menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa menyebabkan mangsa mengejarnya hingga berlaku pergaduhan serta menyebabkan mangsa ditikam,” katanya.

Ali berkata kedua-dua suspek itu mengalami cedera ringan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan benda yang berbahaya.

“Mangsa adalah bekas anggota Balai Polis Selayang dan kini bertugas di UTK Bukit Aman tetapi, tinggal di Kuaters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

“Susulan kejadian, kita menahan dua lelaki berusia 24 tahun dipercayai terbabit dalam kes itu dan mereka direman selama empat hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Selayang oleh rakannya dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Comments

comments