TMJ Semakin Kuat Bida Kerusi Presiden FAM?

tmjJOHOR BAHRU 22 Okt. – Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, di sebalik menolak untuk memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), seakan-akan memberi mesej bahawa beliau sudah bersedia untuk menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai presiden badan induk bola sepak negara itu.

Tunku Ismail sebelum ini menolak tawaran menjadi Presiden FAM walaupun mendapat soko­ngan beberapa persa­tuan untuk permili­han tahun depan.

Bagaimanapun, dalam entri terbaharu di akaun Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers, beliau menjelaskan bahawa pemergiannya ke sidang kemuncak bola sepak dunia di Sepanyol pada 27 dan 28 Oktober ini bukan sekadar untuk berjumpa dengan rakan-rakan daripada kelab Barcelona, Valencia dan Madrid “…tetapi untuk mencari jurulatih baharu bagi pasukan kebangsaan dari peringkat belia dan pasukan utama negara yang akan menerapkan polisi, disiplin dan falsafah buat pasukan kebangsaan,”.

Tunku Ismail, dalam entri itu, mengakui sudah lama ingin membantu skuad kebangsaan tetapi tidak boleh melakukan apa-apa sebelum ini oleh kerana pengurusan FAM sedia ada.


“Apabila pengurusan baharu mengambil alih FAM tahun depan, tiga objektif utama yang akan terus dilaksanakan adalah pelantikan jurulatih baharu dari Sepanyol, duit hak penyiaran untuk semua pasukan dan memperbaiki Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP),” tegas beliau.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan 17 ahli gabungan badan induk bola sepak Malaysia telah menyatakan sokongan terhadap Tunku Ismail untuk me­nerajui FAM apabila presiden sedia ada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah menyatakan pendirian untuk melepaskan jawatan.

Walau bagaimanapun, dalam perjumpaan dengan ahli gabungan tersebut, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor meminta diberi masa untuk memikirkan tawaran berkenaan.

Selain Tunku Ismail, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa telah menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan No. 1 dalam FAM itu manakala dua tokoh korporat iaitu Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Seri Idris Jala turut disebut-sebut akan dicalonkan untuk mengisi jawatan berkenaan.

Utusan

Comments

comments

,