TMJ, Ahli Gabungan FAM Dijangka Bertemu Kali Kedua

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Majoriti ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahukan Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerajui badan induk kebangsaan tersebut kini bersedia memasuki ‘gear’ lebih tinggi apabila bakal mengadakan pertemuan lanjutan dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu dalam masa terdekat.

Malah, jika pertemuan pertama yang diadakan di Johor Bahru pada 9 Januari lalu dihadiri 12 ahli gabungan, perjumpaan kali ini dijangka mengumpulkan semua 17 ahli gabungan yang telah menyatakan sokongan terhadap pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Beberapa bayangan yang diberikan oleh TMJ, yang menyatakan hasrat untuk merubah bola sepak Malaysia andai berada dalam kedudukan yang membenarkan beliau berbuat demikian dilihat sebagai perkembangan positif oleh kesemua 17 ahli gabungan yang berada di belakangnya.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Wira Yusoff Mahadi, orang yang bertanggungjawab menggerakkan usaha menyokong Tunku Ismail mendedahkan, jika pada pertemuan pertama beliau yang mengambil inisiatif menghubu­ngi ahli gabungan tetapi kali ini mereka yang menghubunginya meminta perjumpaan ke­dua diadakan.


“Kita tunggu TMJ pulang ke tanah air dulu (dari Sepanyol) dan mungkin akan ada pertemuan pusingan kedua.

“Pertemuan kali kedua ini juga memberi peluang kepada ahli gabungan yang tidak berkesempatan berjumpa Tunku pada pertemuan pertama.

“Begitupun, sehingga kini belum ada apa-apa jawapan diputuskan TMJ, namun kami merasakan beliau adalah calon yang paling layak memegang jawatan presiden,” kata Yusoff.

Tunku Ismail menerusi Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers semalam, bagaikan memberi mesej beliau bersedia menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah apabila memberitahu, antara misi utamanya menghadiri sidang kemuncak bola sepak dunia di Sepanyol (27 dan 28 Oktober) adalah mencari jurulatih baharu bagi skuad utama dan belia negara.

BACA: Ahli Gabungan FAM Adakan Perjumpaan Tertutup Dengan TMJ

“Saya anggap kenyataan itu sebagai petanda positif kerana saya percaya bukan saya sahaja, tetapi majoriti ahli gabungan menyokong TMJ untuk memegang jawatan tertinggi FAM,” kata Yusoff.

Kerusi Presiden FAM mula menjadi tumpuan selepas Tengku Abdullah pada November lalu menyatakan pendiriannya untuk melepaskan jawatan tersebut.

Utusan

Comments

comments

, ,