SPRM Sahkan Tiada Bukti Unsur Rasuah, FAM Tetap Teliti Kandungan Pendrive

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah selesai meneliti kandungan pemacu pena (pendrive) yang diserahkan oleh Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin Jumaat lalu.

Menurut kenyataan SPRM pada Isnin, hasil penelitian terhadap isi kandungan pendrive itu didapati ianya tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

“SPRM akan menghantar satu laporan mengenai siasatan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam tempoh terdekat ini bagi proses penambahbaikan dan tindakan persatuan itu khususnya mengenai isu-isu teknikal yang telah dibangkitkan,” jelas Pengarah SPRM, Datuk Azam Baki dalam kenyataan tersebut.

Pada Jumaat lalu, Khairy menyerahkan pemacu pena dan senaskah salinan kandungan laporan setebal 279 muka surat kepada pengarah  SPRM untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

BACA: Rahsia Pendrive: “Terpulang Kepada TMJ Untuk Buat Laporan” – FAM

Khairy berkata, pendrive serta naskah yang diserahkan itu merupakan bahan asal sepertimana yang diterimanya daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 26 Ogos lepas.

Sementara itu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap akan meneliti isi kandungan dalam pemacu pena yang diserahkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meskipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang unsur rasuah.


Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata dokumen itu akan diteliti terlebih dahulu sebelum tindakan susulan diambil.

“Selepas menerima laporan lengkap mengenai siasatan pendrive itu daripada SPRM dalam tempoh terdekat ini, pihak persatuan akan meneliti dokumen tersebut sebelum melakukan sebarang tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Hamidin turut mengucapkan terima kasih kepada SPRM kerana  mengeluarkan satu kenyataan media berhubung keputusan siasatan berkenaan isu pendrive.

BACA: TMJ Perlu Serah Bukti Rasuah Kepada SPRM

“Kenyataan SPRM itu telah menjelaskan sepenuhnya bahawa isi kandungan pendrive yang diserahkan Khairy Jamaluddin kepada SPRM pada 2 September lalu didapati tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada masa sama, Hamidin berkata FAM tetap prihatin mengenai saranan SPRM bagi proses penambahbaikan khususnya berhubung isu-isu teknikal yang telah dibangkitkan.

“Dengan penjelasan SPRM itu, diharap isu pendrive ini telah pun selesai dan ingin diperjelaskan lagi bahawa pihak persatuan sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama dalam apa juga isu termasuk SPRM dan mana-mana pihak atau penyokong demi kebaikan bola sepak Malaysia,” katanya.

Comments

comments

, , , ,